"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Ahad, 27 April 2008

Suria bersinar kembali

Rasanya tidak patut di panjangkan lagi kisah mendung di musim panas. Ini kerana semua manusia pasti akan melakukan kesalahan. Tidak besar, kecil. Tidak rumit, mudah. Tidak terang, sulit. Manusia memang pesalah. Dan aku sebagai manusia juga memang bencikan perbuatan salah seseorang itu. Tetapi, dalam dunia yang hanya di bagi pinjam. Semuanya tidak akan kekal di atas hamparan fatamorgana ini. Semuanya akan menuju ke negeri abadi. Alam akhirat yang pasti akan terjadi. Waktu di mana akan di bentangkan segala tindak-tanduk yang di lakukan di atas dunia… tidak kira siapa orangnya. Muslim, mukmin, hindu, budha, kristian, yahudi, bahkan aties yang tidak mempercayai alam akhirat pun akan turut di tunjukkan amalan mereka. "Dan barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, niscaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah, niscaya dia akan melihat (balasannya)". (Maksud ayat Al-Quran 99:7,8). Astaghfirullah hal adzim… aku memohon ampunan dari Mu ya Allah…

Masalah pasti akan mendatangi ke atas yang namanya manusia. Dan ini merupakan fitrah yang sering berlaku. Tidak kira ke atas siapa dan di mana. Pasti ianya akan menemukan dan di temukan. Apa yang penting bagaimana cara untuk mengatasinya, apa jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah itu tadi. Dalam hal mendung di musim panas, masalahnya perlu di atasi, yang sesat perlu di kembalikan, yang salah perlu di perbetulkan, yang sombong perlu di sedarkan. Ianya tidak boleh di biarkan terus berlalu tanpa sebarang usaha untuk memperbaikinya. Mana pergi slogan yang selalu di laungkan??.."Islah nafsi wad'u ghairak"(pembaikan diri sendiri dan mengajak kepada orang lain).. semuanya ini perlu di tadhbikkan (praktikkan)… sambil memperbaiki diri, yang salah juga patut menyerah dengan kesalahannya. Buangkan sifat sombong dan ego masing-masing. Kerana kita yang ada ini bersaudara. Atas nama Islam, Iman dan keramat selawat ke atas junjungan besar Sayyidul Abrar (S.A.W), masing-masing perlu menginsafi sesama sendiri. Ya Allah satukan hati kami yang terpisah atas keegoan kami…pindahkan awan mendung semalam menjadi suria pagi yang ceria menyuluh sekalian alam buana

Tamat untuk mendung di musim panas….kisah yang penuh konflik.

Masa terus berlalu dan menjauh. Hampir suku purnama lagi semua warga Universiti akan mengerah keluar segala yang wujud dalam kotak fikiran untuk di terjemahkan dan di muntahkan atas kertas jawapan masing-masing. Ianya bergantung pada kemampuan tersendiri. Berbekaskan dari usaha dan doa. Tawakal dan ketentuan Ilahi, akan menzahirkan natijah baik buruk pada setiap warga anggota Universiti. Musim peperiksaan bakal menjengah menggantikan fatrah santai yang berpanjangan. Aku yakin pada Mu ya Rabb. Segalanya ketentuan Mu dan tersimpan berjuta hikmah atas semuanya. "Rabbi zidni ilman nafi'an , warzukni fahman wasi'an"..(ya Tuhanku, tambahkan ilmu yang bermanfaat pada ku, dan berikan aku kefahaman yang luas)..

Akhir-akhir begini banyak sungguh konflik yang berlaku di sini. Samada konflik diantara sesama kami, ataupun konflik yang meng-amuk dalam jiwa dan perasaan aku sendiri. Dalam keghairahan sahabat-sahabat lain menelaah kitab masing-masing bagi memudahkan diri di hari imtihan(peperiksaan), kami bertarung bermati-matian untuk menjernihkan suasana ukhuwah antara kami. Mudah-mudahan apa yang kami lakukan ini mendapat redha daripada Mu ya Tuhan…"La haula wala quwwata illa billah"(tidak ada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaan Allah). Bagi Jalan yang berliku, waktu genting sebegini juga tidak dapat aku larikan diri daripada menghadap konflik jiwa dan perasaan yang mengganggu. Semuanya muncul satu demi satu. Sepertinya sebuah tayangan filem pendek sejarah kehidupan seorang tokoh pejuang negara. Bermula semenjak dari lahir hinggalah di saat kematiannya. tersusun plot jalan penceritaan bagi memberi kefahaman kepada penonton menghayati erti perjuangan membela negara. Tetapi, untuk konflik yang melanda ini, kisahnya begitu panjang dan berepisod. saling berkait antara plot-plot penceritaannya. cukup lengkap dan sempurna. Elok saja dibiarkan segala penyusunannya itu terbang di bawa angin, kerana, yang mendung akan kembali cerah dan bernyawa menyuburkan hari-hari yang mendatang.....insyAllah..

Harapan…Moga apa yang terjadi menjadi tangga dan perantaraan untuk aku terus meningkatkan tahap kefahaman dan masak dalam kehidupan ini.."pengalaman mematangkan kehidupan". Kata-kata yang pernah terpancul keluar dari mulut ku apabila ditanya tentang falsafah hidup suatu ketika dahulu. Ada benarnya kalam itu. Sekarang baru dapat aku rasai maksud tersirat dari kata-kata itu. Dan sememangnya pengalaman tidak akan dapat dirasai melalui percakapan semata-mata, bahkan ianya memerlukan perbuatan, dan roh kehidupan sehari-hari itu sendiri. Bagi yang belum pernah merasainya, cuba perhatikan kehidupan sekeliling, sejak mata di buka sehinggalah ianya kembali tertutup, itulah pengalaman, ilmu kehidupan yang sukar diterjemahkan dalam bentok teori, ianya berharga pada manusia yang ada tujuan hidup sebagai Manusia…

Khamis, 24 April 2008

Mendung di Musim Panas

Di penghujung malam aku hentikan gerakan hidup ini. Sangat ingin menikmati suasana hitam pekat malam apabila mata di tutup nanti. Di akhiri dengan doa bersama sahabat yang datang menumpang dan berkunjung. Di selangi bersama muhasabah dan kisah perjuangan sebagai seorang Daie yang perlu dan sentiasa di hayati. Doanya kami bacakan bersama-sama moga hari esok masih ada peluang untuk kami di beri kekuatan memperbaiki diri. Moga esok akan di bentangkan hamparan indah jalan-jalan bahagia dan aman buat kami. "Bismikallah humma ahya wa amut"(dengan nama Mu ya Allah, aku hidup dan mati)… Selamat malam dunia. Aku bertemu lagi dengan mu jika diizinkan Allah..

Allahuakbar!!....Hayya alas solah!!...... seribu jeritan perkasa dari bilal-bilal yang muncul dan berteriak dari corong menara-menara masjid sekitar Mansurah. Menandakan aku telah lewat lagi untuk menunaikan fardhu subuh kepada yang Maha Esa. Dengan mata yang berat dan tubuh yang malas aku gerakkan batang tubuh ini menghadap Mu ya Rabb…Ya Allah…ampunilah dosa hamba Mu ini yang selalu lalai dan leka dengan perintah Mu…bergema seluruh angkasa negeri asing ini dengan takbir dan tahmid memuji dan mengagungkan kebesaran Allah Tuhan semesta alam…indahnya alam Mu ya Rabb ketika ini…

Pagi ini mendung, tidak seperti biasa. Kebiasaannya di permulaan musim ssaif(panas), cuacanya amat membakar, memasak dan menyalai segala isi dan penghuni bumi ini. tapi tidak pada hari ini, cuacanya sungguh aneh sekali..mendung, anginnya begitu sejuk dan lemah. Memang ianya tanda untuk sebuah perjalanan kehidupan kusam muram bagi ku dan sahabat-sahabat di bumi gersang ini. Berita yang mengejutkan semua sahabat. Astaghfirullah hal adzim….bila mana manusia telah sombong dan berfikir bahawa dirinya boleh merubah segala-galanya. Sedihnya, bila seorang sahabat telah di halau dari rumah yang baru di diaminya bersama sahabat yang lain..

Mana perginya sifat kasih sayang sesama insan??.. Lunturlah iman bagi mereka yang menyakiti hati saudaranya sendiri..oleh kerana keegoaan, hidup dalam dunia sendiri, dunia yang di reka-cipta untuk tidak menerima pendapat orang lain, dan menetapkan dalam mindanya "aku orang yang benar, kalau aku bersalah mengapa tidak ada yang berani menegur aku??..nah!!..pergi kau dari ku bedebah!!..ini dunia aku…jangan kau rampas kuasa ini dari tangan ku"…maka dibiarkan hati sahabat yang yang luka cedera parah akan dunianya itu. Sakit sungguh bila di fikirkan, sedihnya bila di ingatkan, geramnya bila di ceritakan. Perasaan yang bercampur-campur dalam jiwa setelah mengetahui berita ini. Kepada sahabat ku, tenangkan hati mu, jangan bersedih, cuaca yang mendung ini tidak meraikan pemergian mu, Allah akan sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar dan di zalimi. Teringat pesan guru ku doa yang perlu di baca setiap kali di zalimi. "La ila ha illa anta, subhanaka inni kuntu minadh dholimin".

Anehnya bila di fikirkan, kami di negeri asing ini hanya segelintir sahaja bilangannya, itu pun masih lagi ada individu di kalangan kami kehadapan untuk mempertonjolkan sifat jijik dan jelik di sini. Tidak terfikirkah mereka bahawasanya kami inilah yang di benci mereka itu adalah sahabat??..kami inilah yang di benci mereka itu adalah keluarga?? Kami inilah yang di benci mereka itu adalah teman??.. siapa lagi yang mereka ada disini. Kalau bukan KAMI!!...

Doa ku, Ya Allah…atas nikmat Mu yang tidak terhingga, atas rahmat Mu yang melimpah ruah, aku pohonkan pada Mu supaya Engkau berikan kami di sini kekuatan dalam hubungan sesama kami. Thabitkan kami dengan tali Mu ya Rabb.jauhkan kami dari perpecahan dan perbalahan, kerana kami tiada apa di sini selain sahabat-sahabat kami yang ada di sini sahaja, tunjukkan kami jalan yang benar, berikan kejayaan kepada kami di dalam pelajaran kami serta kehidupan kami dunia wal akhirat, Amin ya Rabbal alamin…biarpun hari ini berlalu dengan mendung di musim ssaif(panas),biarkan ia berlalu dengan kesayuannya. Tidak akan ku hubung-kaitkan dengan kisah sedih ini kerana hari esok tetap akan menyusul jika di beri kesempatan oleh Pencipta hari. Dan hari esok yang bakal tiba akan ku ubati dengan hidup yang lebih indah dan ceria untuk diri ku dan sahabat-sahabat ku semuanya, insyaAllah.. Moga hari esok akan cerah buat mu sahabat…."La tahzan, innAllaha Maana"(jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama dengan kita)….

Isnin, 21 April 2008

Metafizika

"Wahai manusia! Sesungguhnya telah Kami jadikan kamu sekalian daripada seorang lelaki dan seorang wanita, dan Kami jadikan kamu bergolongan dan berbangsa-bangsa,supaya kamu saling kenal di antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang bertakwa paling mulia di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Menyelidiki". ( Maksud ayat al-Quran 49:13)

"Tiada kelebihan di antara orang Arab dengan bukan orang Arab dan tidak ada kelebihan di antara kulit putih dan kulit hitam,begitu juga sebaliknya. Semuli-mulia kamu ialah orang yang bertakwa". ( Maksud hadis).

"hidup ini terlalu indah tapi keindahan tidak semesti melambangkan keceriaan,,kemungkinan adalah kepalsuan,,cari lah ia dimana-mana,,,apabila temui keindahaan sejati ucaplah padanya "sesungguhnya aku rindu padamu",tapi keindahan hidup yang ditemui mungkin hari-hari terakhir,,maka itulah keindahan yang abadi,,,,live must go on,what ever you do it always become true,,,,we look and we see,,,, Warna kulit dan bahasa yang berlainan adalah suatu tanda kebesaran Ilahi. Bangsa yang memperkosa hak bangsa lain atau orang yang memperbudakkan sesama manusia telah melakukan kesalahan. Tetapi kesalahan tidak boleh ditimpakan kepada si gagah sahaja, yang dijajah dan diperkosa atau diperbudak turut bersalah. Mengapa mahu dijajah?Orang lain tidak dapat menolong kalau yang dijajah telah menggalangkan batang leher sendiri untuk disembelih". ( Hamka)

"Bangsa yang ingin maju mestilah memajukan bahasanya. Bangsa penakut tidak boleh merdeka dan tidak berhak merdeka. Ketakutan adalah penasihat yang sangat curang untuk kemerdekaan". (Andre Colin ).

"Bangsa Rom pada masa dahulu sangat kuat berusaha dan rajin bekerja sehingga berjaya kepuncak ketinggian. Namun,setelah ditimpa penyakit lalai dan malas, peradaban yang ditegakkan oleh nenek moyang mereka runtuh sedikit demi sediki. Ketika itu mereka menyangka berusaha dan bekerja itu bukan pekerjaan orang yang merdeka tetapi pekerjaan budak-budak". (Sejarawan)

" Jangan berputus asa apabila menghadapi kesusahan, kerana titisan hujan yang jernih juga berasal dari awan yang gelap".(Ana Klebsiella)

Jumaat, 11 April 2008

Musim Tekanan = Peperiksaan


Pagi ini aku mesti tulis, mesti luahkan semuanya yang aku rasa. Biar apa pun akan orang kata selepas ini. aku sudah tidak kisah. Sebab diri ini hanya aku yang mengerti sakitnya, sukanya, sedihnya, sepinya, dan semuanya. Hanya aku..Hati rasa nak pecah, kepala rasa berpusing-pusing, badan rasa lemah dan malas. Kadang-kadang aku fikirkan tentang buku, kadang-kadang fikirkan diri, dan kadang-kadang fikirkan orang yang melingkari kehidupan ku. Dan ini semuanya sekadar berfikir. Takkan kemana kalau sekadar berfikir..natijahnya aku yang mengalami tekanan akibat fikiran tadi. Dan ramai yang seperti ini, berfikir dan terus berfikir akan hal yang memberatkan otak. Mungkin bezanya situasi mereka sebagai pekerja, sebagai guru, sebagai Ibu, sebagai Pemimpin, pelajar, dan lain-lain lagi.

Paksa diri untuk menjadi yang terbaik. Simpang yang selalu muncul dan bermain dalam hidup jalan yang berliku. Bukan pertama kali aku ketemu simpang ini. Tiap-tiap masa aku fikirkan. Dan fikiran itu adalah tentang semuanya. Dan bagi yang bergelar manusia, semuanya ingin menjadi yang terbaik. Tapi, jalan mana yang harus dan relevan untuk dilewati tu menjadi satu persoalan yang berlegar sekitar kehidupan. Memang menyakitkan bila di fikirkan masalah ini. Benarkah ini satu masalah?? Ataupun ia nya memang akan menemukan sesiapa sahaja yang wujud di atas dunia ni. Persoalannya atas diri masing-masing..

Dan aku akan terus biarkan rasa sakit ini menyelubungi jiwa dan kehidupan ku sehinggalah tamatnya musim tekanan yang bakal di hadapi. Inilah jawapan kepada rasa sakit yang mengganggu jiwa ku. Dan waktu begini rasanya ingin saja aku tidur buat selama-lamanya. Tidak susah-susah untuk memikirkan kesakitan ini. Kesakitan yang mengikat dan menambat setiap hembusan nafas kehidupan ku. Dan mungkin juga aku perlu biarkan sahaja semuanya berlalu dibawa angin hingga ke hujung dunia. Semuanya membuang masa. Teruskan menuju kehadapan. Menghirup udara yang segar di bumi tandus dan gersang. Teruskan menuju kehidupan bosan dan statik tanpa pembaharuan seperti biasa. Biarkan tekanan terus menekan jiwa dan seluruhnya. Biarkan….

Rasa sedih terhadap kemampuan diri sendiri..siapa yang mengerti bantulah daku..

Jumaat, 4 April 2008

Mual dan muntah


Mual, loya, pening. Lagi teruk muntah terus. Pengalaman pertama naik kapal terbang Qatar Airways ke negeri Pasir. Waktu kecil, inilah saat paling ditunggu, kalaulah dapat naik kapal terbang. Alangkah indah bersama awan dan ketinggian. Dan sekarang, nah..nikmatilah, dan hayatilah. Mampus lepas ni aku tak nak naik dah. Biar balik Malaysia nanti naik kapal laut pun. Aku phobia dengan kapal terbang. Aku muntah!..

Disebelah, lelaki berbadan gempal. Sebelah lagi lelaki negeri asing. Dan aku?.. seorang, dihimpit oleh fizikal dan perasaan yang rimas. Perut rasa ditumbuk, kepala rasa dipusing, mata rasa tertahan. Susah untuk dilelapkan. Semuanya rimas dan meloyakan. Bila diingat waktu menaiki bas awam (Mega Sdn.Bhd.), Sungkai ke Tanjung Malim jauh lebih selesa dan tenang. Walaupun gambarannya semak, uzur dan bising.

Kena dengan waktu dan masanya. Hari itu hari sabtu, jam 0347, 17 september 2007 bersamaan 3 ramadhan. Berlepas dari lapangan terbang KLIA menuju ke negeri pasir. Dan sudah tentunya aku telah menggunakan pakej yang diberi Agama untuk pemusafir seperti aku untuk berbuka puasa. "do you want anything sir?" manusia cantik telah menjamah mata ku. Menghilangkan sedikit keresahan perjalanan yang bakal ditempuh. Makanan pertama terhidang di meja lipat kerusi ku. Lelaki gempal dan asing disebelah ku masih berpendirian teguh menahan kelaparan puasa dan kehausannya.

Lapan jam berlalu di dalam pesawat sungguh membosankan dan mengerikan. Masa yang begitu lambat untuk dihabiskan. Dan kengerian itu di susuli dengan langgaran-langgaran kecil pesawat dengan awan tebal menyebabkan aku yang bertambah tertekan dan sejuk..sampai sejuk badan menahan takut. 1230 tiba di doha untuk transit selama 6 jam. Satu lagi masa yang penat untuk dihabiskan. Doha sebuah ibu negeri yang tandus, kering dan panas hawanya. Dan ini Negara asing yang pertama aku jejaki dalam sejarah Jalan yang berliku. Jauh dari gambaran akal. Sebelum ini, semua negeri asing dalam gambaran minda ku adalah sejuk dan indah seperti di Eropah. Tapi, realiti yang sebenarnya tidak semua. "Masakan semua negeri didunia ini sempurna indah dan sejuk?". Tidak sama sekali….

Perjalanan diteruskan selepas 6 jam membuang masa melihat kehidupan manusia asing di Doha, dan aku juga dilihat sebagai manusia asing bagi mereka yang sudah jemu dan mual dengan kehidupan Doha. Dalam pesawat kali ini, lelaki berbadan gempal dan asing sudah kalah dengan perjuangan keinginan puasanya. Perkara yang sudah dapat aku jangkakan.."ini kan satu permusafiran?", mengapa ingin menyusahkan perkara yang dimudahkan. Aku pula yang berasa malu dengan kekalahan mereka dalam menahan puasa itu tadi. "Apa kata orang disekeliling?". Mereka sentiasa memerhati dan mencari kelemahan orang lain. Tambah lagi bagi seorang muslim. Menampakkan kelemahan umat Islam dalam pegangannya. Semua ini mungkin tidak berlaku jika diamalkan apa yang telah dipermudahkan oleh Islam itu sendiri. Terutamanya dalam bab permusafiran. Entah la, masing-masing punya pendapat tersendiri..

Jam 0655 selamat tiba di negeri Pasir. Keadaan yang lebih kurang sama dengan persinggahan transit Doha tadi. Mimpi ngeri yang mendebarkan telah tamat, dan ditinggalkan bersama muntah di tandas pesawat. Jangan melihat kebelakang lagi, igauan pesawat yang mengerikan sudah berlalu. Tiada mual, loya, pening, ngeri, bahkan sejuk kerana ketakutan dihadapan. Penat pula yang menguasai diri akibat perjalanan yang tegang. Dan penat ini bukan kerana aku berpuasa. Penat ini kerana mual dan bosan dengan situasi tadi..sampai di rumah pelajar nanti ada lagi makanan berbuka yang bakal menyambut ketibaan ku. Dan sekali lagi aku nyatakan situasi permusafiran diriku. Mungkin ada yang sudah mengerti….