"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Sabtu, 23 Ogos 2008

Sekelip mata

Lambaian selamat tinggal buat yang masih berada di sini. Kehidupan di gurun sahara yang sangat mendebarkan perlu terus di terokai. Walaupun sakit, sedih, kecewa, rindu dan semuanya. Ceriakan sendiri laluan panas itu dengan tumbuhan bunga yang harum dan subur mewangi. Semalam rasa sedih akan perpisahan dengan watak-watak hidup yang melingkari jalan yang berliku ku sekali lagi membunuh ku. Sayu hati saat melepaskan keluarga sahabat yang datang bertandang ke sini menjenguk kehidupan anaknya seterusnya dapat menceriakan hari-hari ku di sini. Walaupun tempohnya cuma sementara. Sekurang-kurangnya dapat juga mengubat rasa rindu pada keluarga sendiri di tanah air sana. Meminjam curahan kasih sayang keluarga sahabat untuk mengenang kembali pengorbanan dan kasih sayang ayah-bonda terhadap ku selama ini. Alfun syukran alaikum(ribuan terima kasih kepada semuanya)…

"Anak, gunakan peluang yang di berikan sebaik-baiknya, kehidupan yang sempurna perlu di hiasi dengan ketekunan dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang manusia. Biar di mana sekali pun kamu berada, ingat pada tujuan asal kamu di lahirkan ke atas muka bumi ini ". Kata-kata keramat yang menyerbu masuk ke dalam kotak fikiran ku. Sangat bermakna dan berguna sebagai tazkirah jiwa yang sedang kontang dan hauskan akan didikan seseorang yang berpengalaman dalam hidup. Hidup di negeri pasir sebatang kara. Semuanya seratus-peratus bergantung pada diri sendiri. Sekarang waktu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Perlu bersedia dengan persoalan dan simpang-simpang yang bakal di temui. Di mana tanah yang perlu di pijak?, laluan mana yang harus di rintis?, arah mana yang harus di pilih?, semuanya atas diri sendiri. Ya Allah, bantulah hamba Mu ini dalam membuat sebarang keputusan untuk hidup……

Rasanya waktu-waktu yang telah meninggalkan ku seperti cepat berlalu dan mudah meresap bersama udara yang keluar dari ruang pernafasan ku. Hidup di umpamakan seperti proses pernafasan manusia. Setiap kali udara di sedut ke dalam paru-paru, setiap kali itu juga ianya akan di hembus keluar semula untuk menjadi udara. Tak pernah sekali pun dalam sejarah manusia, udara yang di sedut oleh mereka yang membolehkannya bernafas untuk hidup, kekal di dalam paru-parunya untuk selama-lamanya. Ianya mesti di susuli dengan proses pernafasan secara normal manusia. Tarik nafas dan hembus semula. Begitu juga dengan kehidupan, tiap pertemuan pasti ada perpisahan. Segala yang muncul pada hari ini akan menjadi sejarah untuk hari esok. Segala yang muncul pada hari esok akan menjadi sejarah untuk hari lusa dan seterusnya. Tapi, bagi kehidupan yang lebih bermakna, hari ini perlulah lebih baik dari semalam, ataupun setiap hari adalah yang terbaik…

Semuanya terjadi sekelip mata. Jika malam tadi baru sahaja meletakkan kepala di bantal tempat pembaringan, rasanya sekelip mata sahaja sayup-sayup terdengar laungan azan subuh berkumandang dari corong masjid di kota seribu menara di sini. Sekelip mata sahaja waktu solat subuh menggantikan waktu mati yang singkat. Jika setahun yang lalu mata ini mengeluarkan air jernihnya meratapi detik perpisahan bersama keluarga tersayang di lapangan terbang tanah air, rasanya seperti sekelip mata sahaja waktu itu meninggalkan ku dan menjadi kenangan abadi kisah hidup ini. Dan jika dahulu hati ini menyimpan rasa aneh yang sukar di gambarkan dan di terjemahkan pada dia(gadis kecil yang tabah), rasanya seperti sekelip mata sahaja waktu dan rasa itu semua berlalu tanpa ada tindakan yang mampu untuk di lakukan tentang rasa istimewa ini. Harap dapat bertahan untuk rasa itu. Dan buat sahabat yang sudah pulang ke tanah air mencari rentak baru dalam mencari diri sendiri, rasanya sekelip mata juga persahabatan yang di ikat dan di bina itu di pisahkan melalui jarak dan tempat. Semuanya berlaku dalam sekelip mata…. Sekelip mata!!...

Alangkah indahnya jikalau dapat memilih untuk tidak mengerlipkan mata. Biarkan mata terus sahaja di buka tanpa berkelip-kelip lagi, ataupun biarkan mata terus-menerus tertutup. Langsung lenyap kalimah sekelip mata. Hidup ini segalanya begitu. Semuanya ingin yang terbaik dalam mencorak perjalanan yang bakal di rintis. Tapi, cara dan kaedah untuk menjadi yang terbaik itu yang menjadi masalah masing-masing. Mudah-mudahan diri ini tergolong dalam golongan yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Nafsuka, in lam tusyghilha bilhaqqi, wa illa syaghalatka bilbatili(jiwa mu kalau ia tidak di sibukkan dengan perkara yang hak, maka ia akan menyibukkan mu dengan perkara batil)…

apa yang kamu pilih??.....

Rabu, 13 Ogos 2008

Monolog Dua



Dahulu di atas lembaran ghaib telah aku putuskan untuk mengubah cara hidup yang senantiasa bergerak membelah hari-hari ku. Bersama tekad yang padu tidak mahu menoleh lagi ke belakang melihat contengan kasar kisah hidup diri sendiri. Apatah lagi untuk mengulanginya. Malangnya pergerakan lazim yang sentiasa menjejaki dan mengekori ku tanpa sedar telah membawa ku ke ruang tonton untuk aku lihat kembali contengan kasar itu semula. Rasanya seperti lembaran ghaib yang dahulunya menjadi penyegar hidup(refresh) dan tatapan seharian ku telah pun carik, berhabuk tidak di jaga. Dan semuanya itu berlaku atas tindakan diri sendiri.


Hari-hari yang menyerbu masuk ke dalam hidup ku di bayangi duri-duri tajam di sepanjang kiri-kanan perjalanan ini. Sudah la jalannya berliku, di tambah pula dengan duri sembilu yang mampu menyekat ku dari terus mengangkat kaki melangkah mencari redha Yang Maha Kuasa. Luka lama berdarah kembali. Kali ini situasinya berbeza, aku di tanah gersang yang aneh bagi diri ku. Sekali lagi aku melukakan diri sendiri. Lapisan lembut kulit tangan telah pun di hiris, menusuk hulu pisau ke pangkal hati, menghantuk kepala ke dinding sehingga hilang semua deria rasa. Akhirnya sisa tubuh yang tinggal memusnahkan satu-persatu sistem saraf untuk terus hidup.


Aku jatuh tersepit di lapisan paling bawah. Bilik sempit, gelap yang hitam pekat tanpa sebarang cahaya. Bertemankan khayalan palsu panahan cahaya suria yang tepat terus-menerus ke muka. Silau mata menyaksikan semua itu. Mata langsung tidak dapat di buka. Cahaya yang memancar tidak lagi di anggap sebagai penyelamat. Cahaya yang mengangkat dan menyakitkan ku. Sakit itu membunuh ku perlahan-lahan. Biarkan aku!!. Biarkan diri ini terus menyatu bersama ruang gelap itu. Jangan terangkan ruang itu. Nanti cahaya yang ada akan di sedut dalam sehingga hilang tenaganya. Biarkan… Kerana aku bukan seperti apa yang mereka fikir siapa aku. Aku manusia topeng yang menyiksa diri sendiri. Aku sendiri yang akan bangun memanjat lapisan-lapisan di atas itu. Buat masa sekarang hilangkan semua ihsan. Bersihkan semua taburan kelopak mawar di tanah perkuburan ku. Anggap saja aku manusia biasa yang sentiasa berbuat kesalahan. Yang mengetahui, hanya diri ini dan Penciptanya sahaja…


Maafkan kesalahan ku… aku hanya manusia biasa yang seringkali tersungkur dalam setiap langkah ku. Dan mungkin begitu juga dengan kamu…

Ahad, 10 Ogos 2008

Meniti Titian pelangi

Kelmarin sebelum segalanya bermula, aku jatuhkan pandangan jauh nun melihat langit di ufuk timur Negara pasir. Suasananya kelam dan semakin gelap. Cahaya mega senja kemerahan yang menjeling ke arah ku seakan-akan melambaikan tangannya untuk menukar hari yang sedia cerah menggantikan gelombang hitam pekat waktu malam. Nafas di tarik serak sedalam-dalam yang boleh. Udara yang menerojoh masuk terus ke dalam paru-paru ketika ini sangat bermakna untuk di nikmati dan di abadikan sebelum segala tindakan yang telah di persembahkan sebelum ini di ketahui sebentar saja lagi. Semuanya bakal terpampang di atas hamparan dinding kuliah Universiti. Perjalanan untuk masa hadapan yang hanya terletak di atas hamparan kertas yang di lekatkan di papan kenyataan taman Universiti. Semuanya bermula di situ!!..

Perlahan-lahan kaki melangkah masuk ke dalam Universiti mengharapkan segala prasangka baik selama ini terhadap ketentuan Ilahi menjadi kenyataan. Biar pun sebelum ini bayangan sosok jembalang yang menunggu di hadapan papan kenyataan mengganggu perasaan yang rapuh dengan kebolehan diri sendiri. Semuanya menanti rebah terlantar sakit akibat rasukan jembalang yang mengganggu perasaan tadi. Biarkan semua itu!!. Walau apa sekali pun keputusannya, itulah hasil dari segala usaha, doa dan tawakal yang di persembahkan sebelum ini. Rasanya saat tubuh melintas di hadapan pengawal yang menjaga pintu masuk Universiti tadi, langsung tiada sedikit senyuman pun yang dapat di ukirkan pada mereka. Apatah lagi hendak bertegur sapa. Maalish ya ustaz..(maafkan saya ustaz). Diri ini terasa seperti berada di satu tempat yang kosong tidak ada apa-apa. Ruang kosong putih yang bergema. Hanya diri ini berseorangan sesat dan keliru dengan rasa yang merajai kehidupan sekarang. Bersedialah… semuanya akan tersedar sebentar saja lagi.

Mata terpaku melihat segala yang tertulis di hamparan kertas putih itu. Aku kaget. Perasaan yang sukar untuk di terjemahkan. Rasa gembira bercampur terharu mengambil alih diri. Alhamdulillah!!… syukur atas segalanya. Alhamdulillah… Ya!!,memang aku gembira. Bayangan sosok jembalang yang menghantui sebelum ini sudah luput dari kamus fikiran. Sekarang rasanya seperti bumi sudah kehilangan akan gravitinya. Rasa seperti terapung terbang menuju ke arah pelangi. Dan meniti titian pelangi yang membengkok terus mencecah ke bumi semula. Bertemankan burung-burung kecil yang riang berterbangan membelah awan. Sangat bebas dan gembira. Alhamdulillah… syukur atas keputusan ini. Alhamdulillah daku bersyukur sangat-sangat kepada Mu ya Rabb…

Rasanya keputusan ini bukan semata-mata dari hasil usaha, doa dan tawakal ku berseorangan sahaja. Mungkin dari berkat doa suci mak abah yang tak pernah putus-putus terhadap ku. Mungkin berkat doa ahli keluarga, sahabat, dan teman-teman yang sentiasa bersama ku. Dan yang paling utamanya, mungkin Tuhan ingin beri peluang untuk aku supaya lebih berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang benar-benar berilmu. Moga ilmu yang diperolehi dapat memberi manfaat pada diri sendiri dan orang lain yang memerlukannya. Di kesempatan ini rasanya diri ini sudah banyak sekali terhutang budi pada semua individu yang melingkari hidup jalan yang berliku ini. Dan aku sendiri tidak tahu bagaimanakah caranya untuk membalas jasa mereka itu semua. Terutamanya sekali buat mak dan abah yang telah membesarkan aku dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Dan kepada mereka yang menjadi pendorong dan sumber inspirasi ku, jutaan terima kasih aku ucapkan atas segalanya. Diri ini terasa sangat bertuah memiliki kalian sebagai watak yang hidup dalam setiap langkah kehidupan jalan yang berliku. Aku sayang kalian semua!!..

Kehidupan akan bermula semula selepas ini. Perjalanan sebenar yang tidak di ketahui akan kesudahannya akan kembali ke tempat dan posisi asal mereka. Dan kali ini langkah ini semakin berat dan terus memberat. Memang kehidupan manusia tidak akan sunyi dari semua itu. Hidup di atas dua paksi, susah atau senang, gembira atau sedih, berjaya atau gagal, sakit atau sihat dan lain-lain lagi. Sunnahnya memang begitu. Hari ini kau gembira, esok lusa tak bermakna kau akan terus ketawa seperti hari ini. Dan begitu juga kalau hari ini kau bersedih menangis, lapkan air mata mu itu. Hari esok yang cerah berbunga akan menjemput mu menikmati suasana gembira yang tidak dapat kau jangkakan. Semuanya mesti ada hikmah dan sebab yang tersendiri.. dan buat masa ini, aku bersedih dengan diri ku dan gembira dengan KAMU semua yang melingkari kehidupan ku… kerana aku bukan seperti yang semua orang fikirkan siapa aku… maafkan aku...

Alhamdulillah syukur atas segalanya …….

Jumaat, 1 Ogos 2008

Lari

Entah sudah berapa lama aku tinggalkan kehidupan statik Mansurah, rasanya hampir genap sepurnama langkah kaki ini terus menerus pergi menjauh dari bumi itu. Bumi yang sebelum ini menjadi tempat persinggahan ku dalam mencari sinar kejora kehidupan baru yang telah lama bermula. Bumi yang meminjamkan rasa gundah gulana penduduknya dalam perlumbaan mencari ketenangan dunia. Bumi yang merampas rasa rindu ku pada mak, abah, keluarga, teman-teman dan dia (gadis kecil yang tabah). Bumi yang mengajar ku erti tabah dan redha dalam menyedut bayu sahara yang menggila. Semuanya di atas hamparan sebidang tanah gersang yang telah aku tinggalkan berhari-hari dibelakang.

Awal-awal lagi sudah aku putuskan untuk membawa diri yang kosong ini ke negeri permukiman sahabat di sekitar Negara pasir ini. Cumanya kali ini tanpa membuat sebarang perancangan yang teliti. Semberono. Dan niatnya bersahaja, melawat sahabat-sahabat yang telah lama tidak aku temui. Mengeratkan ukhuwah, menambahkan ilmu thaqafah(budaya) hidup masyarakat negeri pasir yang berbagai karenah, daerah dan negeri. Entah aku tidak tahu mengapa pada waktu dan ketika ini diri terasa sungguh-sungguh di ajak untuk meninggalkan kehidupan mansurah. mungkin gara-gara natijah(keputusan) peperiksaan yang bakal keluar tidak lama lagi membuatkan ku resah untuk berada terus-menerus di rumah sendiri. Aku perlu keluar mencari wajah ceria tersenyum membungakan hari-hari ku yang mendatang. Bayang sosok hantu yang menunggu di ruangan papan kenyataan universiti sewaktu keputusan rasmi peperiksaan keluar perlu segera aku padamkan.