"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Khamis, 22 September 2011

Sekuat Ombak

Manusia itu sering saja tersedar dari lamunan. Mereka terfikir, sekuat manakah cinta itu harus dipersembahkan. Dan untuk siapa sebenar nya kuasa hangat yang mengalir dalam tubuh mereka itu perlu di terjemah menjadi sebuah hadiah yang paling berharga. Sedangkan fitrah asal manusia dan dunia itu adalah musnah. Tidak ada sesuatu pun yang menjadi hak mutlak persendirian mereka. Sedarlah berkali-kali pun, pasti satu-persatu akan terbang melayang menuju ke arah pusat segala tenaga yang ada. Manusia tetap di titik kosong.

Hakikat sebenarnya, rasa cinta yang ada, degupan jantung rindu dan dendam yang meruap bukan berterusan dalam jiwa mereka-mereka. Selalunya ia datang menceroboh dengan segala kuasa adrenalin yang mengalir laju akan hilang sekelip mata juga. Sekuat manakah rasa cinta itu harus dipersembahkan.

Lihat saja pada sang ombak yang memukul pantai. Cinta nya tidak pernah di perjual, cintanya putih sesuci pasir pantai yang halus kepada Sang Pencipta. Tidak pernah sesekali pun ia mengingkari kekasih Nya. Biar pun laut semakin kering, biar pun pantai melebarkan skala nya, ia tetap teguh kepada kekasih Nya. Hanya kerana cinta yang tulus suci menurut perintah. Walau ada halangan tetap berkorban segala-galanya. Sang ombak pasti akan memukul pantai.

Alangkah indahnya jika manusia sebegitu. Rasa cinta yang tidak pernah berbelah bagi hanya satu kepada kekasihnya. Rasa rindu yang terus-terusan mengalir tanpa henti dalam jiwa mereka hanya kepada yang dirindui. Lebih-lebih lagi cinta dan rindu kepada Pencipta rasa.

Persis ombak dan pantai. Aku mahu sebegitu. Selangkah ku kepada mu, sejuta langkah Kau berlari mendapatkan ku. Ud’uni fastajib lakum.

Jumaat, 16 September 2011

Tiap Detik

Jalan yang kita lalui, memang bukan mudah. Ada duri. Ada ranjau. Ada luka. Namun, masih ada indahnya. Pada harum bunga. Pada hangat mentari. Pada ribuan warna yang penuh pesona.

Sama-sama kita lalui jalan ini. Menghargai pada setiap inci jalannya. Pada setiap nafas yang terhela. Masa kita terlalu singkat. Dan moga Tuhan membawa kita ke syurga Nya melalui jalan ini. Jalan yang diredhai.

Ahad, 4 September 2011

Buka balik pintu


Deru angin persoalan yang sering kali bertiup di laman kotak pemikiran. Rumah ini terlalu sepi? Ruangan ini tidak lagi dikunjungi penghuninya? Mengapa tiba-tiba hilang begitu saja? Apakah yang terjadi? Dan seribu satu persoalan yang bertandang.

Dan setelah sekian lama, kini ruangan ini terbuka semula. Ikatan yang tersimpul mati sebelum ini sudah dapat dirungkaikan. Kuncinya sudah ditemui. Mungkin selepas terhantuk sedar berkali-kali. Manusia bukankah sememangnya begitu? Bila berasa selesa, duduk pula nun jauh diatas sana, orang dibawahnya memang anasir kecil pengacau selesanya saja. Realitinya, duduk diatas atau dibawah masing-masing kecil dari kerusi pandangan mereka.

Menulis dan mencatat rasa itu kekuatan jiwa. Bahkan ada juga yang berkata ianya dapat mengikat setiap rinci dari kenangan. Lebih-lebih lagi untuk menghargai erti kehidupan. Apatah lagi, hari-hari yang berlalu adalah sesuatu yang paling jauh kerana ianya tidak dapat dikembalikan.

Dengan sebab itu, pintu ini dibuka semula. perlahan-lahan. Ia bukanlah jaminan untuk penulisan yang berterusan. Lantaran ada berbagai perkara penting yang perlu diutamakan. Tetapi, ruangan ini menjadi satu medan agar dapat mewaraskan diri. Satu ruang untuk bernafas perlahan. Dan seterusnya mendapatkan kekuatan dari sesuatu yang tidak disangka-disangka. Semoga Tuhan sentiasa membantu hambaNya yang selalu mengharap.

Seperti janjiNya, pada setiap sesuatu kesusahan pasti ada kemudahan. Setiap kesusahan ada kemudahan.