"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Jumaat, 2 Mei 2014

Masa itu

Benar. Sungguh benar. Rasa itu kembali berulang. Dan kali ini lebih jelas sebab aku bersungguh mempertahankan. Pedih. Sedih. Kecewa. Sakit kepala. Mungkin tiada lagi makna. Benar ikhlas yang paling dalam tapi aku mungkin tidak semampu itu.

Rabu, 29 Mei 2013

Bayang-bayang

Kita langsung tidak sedar masa-masa yang kita lalui itu kerap berulang-ulang. Kita persembah tunduk hormat. Rasa cinta. Sedih,  kecewa, putus asa. Meluah rasa yang bukan kita.

Rabu, 15 Mei 2013

Beza situasi

Lihat saja pada tarikh istimewa ini. Kamu rasa biasa saja. Kamu ketawa senyum langsung tidak berbunga. Kamu menyanyi liriknya gila entah kemana-mana. Dua situasi yang sungguh berbeza.

Dahulu kamu di pulau indah, kamu tenang, diam, ikhlas lagi senyuman mu. Kamu tetap ada disana. Bersungguh-sungguh memperagakan diri supaya dilihat orang ramai. Puas hati tersenyum sendiri sepanjang hari. Ada hadiah sedang menanti.

Hari ini kamu ketawa lagi. Cuba-cuba untuk resapkan sihir lama mu disana. Puas berbuih-buih mulut terkumat- kamit menjampi serapah kembali ke masa lalu. Mengharap apabila dibuka saja mata kamu berada terus di sana bersama mereka. Apakan daya.

Masa bukankah akan terus berdetik. Biar saja gelisah itu menyelubungi mu. Banyak perkara lalu yang sudah menjadi sejarah. Apatah lagi masa singkat yang satu ini. Belum sempat pun untuk dikira berapa kali kerlipan mata, kamu sudah dihadapan.

Tinggalkan saja masa singkat derita itu. Sudah. Terus maju bersama agenda baru. Satu aspirasi satu agenda katanya.

Siapalah kita

Tanpa sedar kita ternyata sering kali memisahkan diri daripada dunia nyata. Kita terpaksa memilih untuk menarik nafas dalam-dalam, melukakan hati separah mungkin. Kaku batu. Darah hangat yang mengalir dalam badan, kita paksa untuk beku dan berhenti secepat mungkin. Langsung tiada pergerakan. Sepertinya hanya angin yang memenuhi ruang kosong dalam kepala. Memaksa arah fikiran kita untuk menjadi lebih tabah dengan hidup realiti.

Biar saja mereka aturkan semuanya. Kita langsung tidak dapat menguasai diri sendiri. Apatah lagi keadaan. Pada kita, dunia dan segala isi nya ketika itu terlalu angkuh. Ego mengangkat diri sendiri seperti kita ini tiada apa-apa. Sepertinya kita tidak wujud langsung di depan mata. Kita ibarat angin lalu. Kosong lalu tembus. Tiada warna mahupun rasa. Bila tiba masanya kita sendiri yang akan pergi. Kita sedar. Kita sendiri.

Biar lah seteruk mana dunia itu menyisihkan kita. Sehebat mana kita disiksa zahir dan batin. Fizikal kita luka cedera parah tidak lagi upaya untuk bangun berdiri. Darah membuak-buak keluar dari luka. Jangan sesekali kita menyerah. Teruskan berfikir. Fikir itu jalan keluar. Peneman rasa sedih, sakit, kecewa dan putus asa kita. Biar diluar sana huru hara, asal didalam kitalah raja. Kita yang punya kuasa tentukan fikiran kita. Ada hati ada fikiran. Ada gunanya juga diri kita.

Rasa

Terkadang kita rasa kitalah yang paling kuat. Kitalah yang paling sihat. Kitalah yang paling bahagia dalam menempuh hari2 yang mendatang. Kita rancang hidup itu akan indah, sempurna, tepat dengan perisian ilmu sedikit yang telah kita perolehi. Cantik, kembang mekar dalam sarung fikiran kita setiap hari.

Sampai satu tahap kita rasa yakin sangat dengan segala pencapaian yang telah kita terima. Bukan tidak sedar pun. Cuma mungkin orang lain corak perasaan mereka yang sama seperti kita itu ditempuh dengan jalan cerita yang berbeza. Kita bersungguh-sungguh tanamkan dalam diri. Benih kecil ini akan dibaja suatu hari nanti, akan disiram setiap hari, akan dikawal rapi sehingga jangan ada tumbuh parasit yang boleh memusnahkan hidupnya nanti. Kita sudah pun sedar semua itu. Sedar kita bukan sekali, berkali-kali.

Yakin sungguh kita dengan gelaran orang hebat. Kononnya kita sufi suci tahu mana yang benar dan mana yang salah. Kononnya kita ini penghalang kuasa jahat yang membisik ke hati nurani semua manusia. Tanpa segan silu kita iktiraf diri kita penegak kebenaran. Malu lah kita dengan mereka-mereka. Tidak punya ilmu, tapi jauh berbeza dengan wajah suci topeng lakaran kita. Mereka bersyukur, rendah diri, ikhlas dan jujur dengan kecintaan terhadap pencipta segala rasa. Indahnya bila rasa kita seperti apa yang mereka rasa.