"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Isnin, 24 November 2008

Ketahuilah

Ketika keadaan suasana petang semakin kelam menghitam. Nun di ufuk timur, di atas ribuan cakera pemancar satelit kota mansurah, mega kemerahan dari tenaga sang suria mula menghambat cahaya putihnya jatuh menjunam ke kaki bumi. Jatuh menyembah dan meresap ke dalam tanah bersatu untuk menjadi kenangan hari ini. Membuka lembaran baru untuk hari esok dengan permulaan yang di sebut senja. Waktu itu mula terasa kesejukan syitak(musim sejuk)menggigit-gigit seluruh rongga tubuh kurus ini. Sampai ke pangkal hulu hati. Rasa itu menyakitkan ku sejak mula lagi…

Dalam keresahan menyambut kedatangan tetamu musim sejuk, aku semakin bingung dengan diri sendiri. Dunia ibarat sebuah bilik kosong yang tiada apa-apa di dalamnya. Hanya aku dan kotak fikiran. Berkecamuk memenuhi ruang bilik itu. Aku lantas tersedar, di penjuru bilik itu ada satu suara yang mengatakan isi sebenar hati ini. Ia tenang memanggil ku. Suaranya lunak gemalai menggoda ku dari kekacauan fikiran tadi. Ia menyedarkan ku dari terus bingung dengan dunia dan diri sendiri. Mengingatkan ku menjauhi dari tentera ego yang bersarang dalam rumah emosi ku.

Aku ingat waktu itu. Aku penat dengan keputusan diri sendiri. Aku jatuh terduduk dengan pendirian itu. Pendirian yang merampas sebahagian dari hidup ku. Aku nyatakan aku sekadar manusia biasa yang tidak mampu dengan ujian-ujian itu. Walhal, kamu juga manusia biasa. Aku biarkan kamu bersendiriran menghadapi semua ujian itu. Aku biarkan kamu bersusah payah mencari cahaya petunjuk yang aku janjikan sebelum ini kepada mu. Aku sepatutnya menjadi seorang yang luar biasa untuk kebahagiaan yang aku inginkan. Sebab itu kehendak ku. Itu bayaran yang perlu aku selesaikan. Aku mementingkan kelompok manusia biasa(aku fikirkan aku juga begitu).. sehingga rasa itu telah mencederakan kamu dan menyakiti kamu. Maafkan aku….

Mungkin selepas ini semua rasa akan pergi meninggalkan ku. Mungkin aku akan di tanam hidup-hidup di perkuburan masa kehidupan mu. Ia akan sunyi dan terus sendiri dengan mayat- mayat sebelum ini. Aku sedar semua ini memang kesalahan ku. Aku memang manusia yang sering kali tersasar dalam membuat penilaian. Ini memang kelemahan ku. Dan aku akui itu sejak dari azali lagi. Maafkan aku buat ke-sekian kalinya…

Astaghfirullah(ampunkan daku ya Allah). Aku sesat dalam ribut kuasa memiliki jiwa manusia. Aku biarkan manusia cedera parah dan terus-menerus menyakiti dirinya sendiri dengan kesakitan yang aku sendiri tidak dapat capai dan rasakan. Maafkan aku buat ke-sejuta kalinya.. Maafkan aku kerana menghiris perasaan dan hati kamu. Aku manusia biasa yang sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam menilai seseorang. Saat kamu menangis kecewa dan sedih dengan nasib dan diri sendiri aku hanya mampu melihat dari teropong masa khayalan ku. tangan ini tidak sampai untuk membelai mu. Diri ini tidak mampu memujuk mu supaya tenang dengan ujian itu. Nyanyian ku juga tidak sampai ke telinga mu untuk kamu hayati sebagai dodoian waktu sedih mu.

Aku sedar di hujung lubuk hati ini, di kawasan gelap yang paling dalam ada satu suara yang memanggil nama kamu. Aku sedar, di penjuru kotak fikiran ini ada satu bayangan yang tersenyum meminta ku menyambutnya ke daerah selesa. Itu kamu. Aku juga sedar semua itu perasaan-perasaan ku kepada kamu dari dulu hingga ke hari ini. Dan suara-suara itu serta bayangan-bayangan itu semuanya akan sentiasa segar dan hidup pada tempatnya masing-masing buat selamanya.. percayalah….
Maafkan ku...

Aku seringkali berdoa atas kebahagiaan itu(kebahagiaan mu). Menyerahkan segalanya kepada Pencipta segala sesuatu.. Bantulah kami ya Rabb.. “Hasbunallah wa ni'mal wakil” “cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik Pengurus(yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”(maksud ayat al-Quran 03:173).

Aku inginkan seperti dahulu… waktu rasa semua itu berbunga mekar dan kita contengkan bersama keindahan itu dalam bentuk impian dan cita-cita masa hadapan….

Tiada ulasan: