"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Jumaat, 16 September 2011

Tiap Detik

Jalan yang kita lalui, memang bukan mudah. Ada duri. Ada ranjau. Ada luka. Namun, masih ada indahnya. Pada harum bunga. Pada hangat mentari. Pada ribuan warna yang penuh pesona.

Sama-sama kita lalui jalan ini. Menghargai pada setiap inci jalannya. Pada setiap nafas yang terhela. Masa kita terlalu singkat. Dan moga Tuhan membawa kita ke syurga Nya melalui jalan ini. Jalan yang diredhai.

Ahad, 4 September 2011

Buka balik pintu


Deru angin persoalan yang sering kali bertiup di laman kotak pemikiran. Rumah ini terlalu sepi? Ruangan ini tidak lagi dikunjungi penghuninya? Mengapa tiba-tiba hilang begitu saja? Apakah yang terjadi? Dan seribu satu persoalan yang bertandang.

Dan setelah sekian lama, kini ruangan ini terbuka semula. Ikatan yang tersimpul mati sebelum ini sudah dapat dirungkaikan. Kuncinya sudah ditemui. Mungkin selepas terhantuk sedar berkali-kali. Manusia bukankah sememangnya begitu? Bila berasa selesa, duduk pula nun jauh diatas sana, orang dibawahnya memang anasir kecil pengacau selesanya saja. Realitinya, duduk diatas atau dibawah masing-masing kecil dari kerusi pandangan mereka.

Menulis dan mencatat rasa itu kekuatan jiwa. Bahkan ada juga yang berkata ianya dapat mengikat setiap rinci dari kenangan. Lebih-lebih lagi untuk menghargai erti kehidupan. Apatah lagi, hari-hari yang berlalu adalah sesuatu yang paling jauh kerana ianya tidak dapat dikembalikan.

Dengan sebab itu, pintu ini dibuka semula. perlahan-lahan. Ia bukanlah jaminan untuk penulisan yang berterusan. Lantaran ada berbagai perkara penting yang perlu diutamakan. Tetapi, ruangan ini menjadi satu medan agar dapat mewaraskan diri. Satu ruang untuk bernafas perlahan. Dan seterusnya mendapatkan kekuatan dari sesuatu yang tidak disangka-disangka. Semoga Tuhan sentiasa membantu hambaNya yang selalu mengharap.

Seperti janjiNya, pada setiap sesuatu kesusahan pasti ada kemudahan. Setiap kesusahan ada kemudahan.

Ahad, 28 Ogos 2011

Resah

Saat itu ketika manusia sedang asyik dibuai perasaannya oleh dendangan suara yang menggoda, kamu disana resah sendirian dengan lontaran getusan rasa hati yang sering kali bertamu di halaman rumah mu. Ya, rumah kecil nan indah tempat persemayam raja tubuh kaku mu. Siapa makhluk itu? Mengapa dia selalu ada menjenguk setiap langkah mu sebagai habuan indah pelangi senja? Warnanya pelbagai, menjalar dari tanah bumi naik ke atas awan lalu melentur terbenam ke dalam bumi semula. Dia litar pintas lagi teruk sonsang semuanya. Kamu terimanya seolah-olah terapi pakar jiwa lagak ahli nujum diraja kelas pertama. Perasaan indahnya waktu itu sama. Anak kecil yang hajatnya dipenuhi orang semahunya.

Tapi itu dulu, saat semuanya segar mekar cantik indah satu-persatu dimata mu. Makhluk itulah Romeo untuk Juliet mu. Makhluk itulah adiwira yang akan melepaskan mu dari cengkaman watak antagonis dalam riwayat kecil mu disitu. Dan makhluk itu jugalah yang akan melenyapkanmu dari ingatan rasa sempit kehidupan lampau mu yang singkat disana.

Masa itu fitrahnya meninggalkan. Hari ini kamu bersedih sendiri, esok lusa kamu ketawa lagi dan lagi. Terkadang hari ini kamu menjadi pohon tempat orang berteduh, esok lusa kamu menjadi musibah pembawa malang untuk orang yang menumpang di sisimu. Kamu tidak tahu. Benar kata orang. Tunggu teduh dulu. Biar masa membawa pulang kamu ke rumah bahagia yang di idam-idamkan. Tidak dengan aku, dengan orang yang entah jauh atau dekat di hujung mana sekalipun ketetapan Luh Mahfuz. Semuanya tertulis di situ. Bagi aku, masa fitrah yang meninggalkan kita Indah Berbunga-bunga. Rindu pada senyuman ikhlas yang menghangatkan daku.

Selamanya doa dan perasaan ini ada untuk kamu. Tetaplah berdiri pada keputusan yang akan menguatkan mu semula. Wa kafa billahi hasiba.

Ahad, 9 Ogos 2009

Jalan 10:14



Dunia sebegitu. Rupa bumi yang berubah-ubah setiap masa. Memusatkan semua benda mendongak ke arah kayangan cakerawala Bima Sakti. Dunia sains yang sentiasa bergerak mengikut Sunnah Pencipta.

"Demi matahari dan sinarnya pada pagi hari. Demi bulan apabila mengiringinya. Demi siang apabila menampakkannya. Demi malam apabila menutupinya(gelap-gelita). Demi langit serta pembinaannya(yang menakjubkan). Demi bumi serta penghamparannya. Demi jiwa serta penyempurnaan(ciptaan) nya. Maka Dia mengilhamkan kepadanya(jalan)kejahatan dan ketakwaannya. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya(jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya" (Maksud ayat Al-Quran 91:1-10).

Selasa, 7 Julai 2009

Dunia yang sama


Lumpur kota itu masih sama seperti dahulu. Licik dan menggoda. Pasti memerangkap sesiapa saja yang terpedaya dengan hiasan luaran tanah lembut itu. Yang kaya terus dengan kekuasaannya, yang miskin hina terus-terusan dengan perjalanan sempit untuk menjadi ahli masyarakat dunia. Manusia di sini yang aku tinggalkan bertahun dahulu semakin runtuh akan akhlaknya. Dosa pahala bercampur gaul menjadi sahabat setia, bahkan bersumpah setia menjadi saudara kandung rapatnya. Tidak mahu berpisah.


Kuala Lumpur, kotaraya ujian untuk membentuk diri menjadi hamba.. Hamba manusia, material kekuasaan atau Pencipta segala-galanya(Rabbul Alamin). Selamatkan kami dari fitnah dunia yang sama ya Rabb..