"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Selasa, 6 Mei 2008

Masa melanyak diri

Masa semakin suntuk. Hati terasa seakan-akan ingin keluar dari sarang ikatannya. Angin yang keluar masuk dalam kepala, menyesakkan pemikiran. Rasanya seperti taufan yang menghancurkan segala anggota akal di dalamnya. Mungkin sereblumnya hancur, atau mungkin serebrumnya, ataupun mungkin medula oblongata nya. Ahh…Sangat merimaskan… Degupan jantung semakin melebihi normal derapannya. Rasanya seperti derap paluan deram komando yang sedang mara ke medan jihad. Semua akan rasa begitu. Waktu yang semakin menghampiri akan muncul sebentar lagi. Nun di depan jendela kehidupan sehari-hari sahaja ianya berada. Waktu itu semuanya akan di uji atas usaha dan doa yang di persembahkan sebelum ini..Tenanglah wahai hati ku sayang…

Apa ertinya semua ini??.. Semakin lama di fikirkan maksud rasa yang membelenggu ini, semakin ianya terus menyiksa dan menambat rasa ini untuk memusingkan pemikiran dan fikiran. Dan rasa ini akan terus berlarutan sehingga waktu ini berakhir. Dan sudah pastinya rasa ini akan berakhir apabila aku bersedia menerimanya dengan hati yang terbuka, bersedia dan redha. Al-Imtihan qarib..(peperiksaan menghampiri).

Memang fitrah manusia akan di uji dan di hadapkan dengan imtihan. Tidak kira di dunia mahupun di alam kebangkitan(waktu yang pasti tiba). Dan di kala ini, imtihan yang bakal di bentangkan di jalan kehidupan ini adalah imtihan fatrah thani(ujian penggal ke-dua) untuk semua mahasiswa di pelembahan Nil ini. Ianya ujian tahap penguasaan ilmu yang di limpahkan pada ku dan semua di Unversiti setelah se-penggal di beri peluang untuk menguasai ilmu disini. Hebatnya rasa berada di kelompok mahasiswa di universiti yang tersohor di seluruh pelosok dunia ini. Memang aku bangga akan ke izzahannya(kemuliaannya). Namanya terukir di setiap bibir-bibir manusia yang menyanjung akan kemahsyurannya sebagai pusat ilmu. Tambah-tambah lagi fungsinya sebagai pusat ilmu kehidupan. Tidak kira kehidupan dunia ataupun akhirat. Kedua-duanya sangat penting kepada yang bergelar manusia. Layakkah aku menduduki imtihan ini sebagai seorang mahasiswa sebuah universiti yang tersohor dalam keadaan ku sebegini?? Mudah-mudahan… soal layak atau tidak sudah basi dan lapuk untuk difikirkan pada diri ini. Aku sudah pun berdiri di sini. Aku sudah pun bergelar mahasiswa di sini. Aku sudah pun membaca kitab-kitab di sini. Aku sudah pun melepasi fatrah ula(penggal pertama).Fokus perlu kearah menjadi seorang mahasiswa yang bersedia..

Bukan sekadar mahasiswa hidup ini. Ianya jauh nun disana. Kehidupan yang sementara ini hanyalah sebagai tempat untuk menimba amal, mencari redha Tuhan. Memakmurkan dunia dengan rahmat Allah. Dunia hanyalah sebagai bilik menunggu sementara menantinya waktu untuk di periksa dan hisab di hari akhirat. Waktu peperiksaan yang sebenar. Semuanya akan menuju ke sana, masing-masing berbekalkan amal perbuatan di dunia dahulu. Tidak kira siapa pun engkau…Bila teringatkan dosa-dosa lampau yang kerap kali mengganggu fikiran, layakkah aku bersama Kekasih Mu Ya Rabb di Syurga kelak…. Hinanya diri ini di hadapan Mu nanti. Kau ampunilah daku insan yang lemah lagi lalai dalam menempuh ujian-ujian Mu…

Terdesaknya diri ini bila mana di waktu-waktu begini barulah daku teringatkan Mu Tuhan. Barulah terasa diri ini telah banyak melakukan dosa mengingkari perintah Mu. Barulah terasa diri ini sombong dengan nikmat-nikmat yang di bagi pinjam oleh Mu. Barulah terasa diri ini sangat-sangat mengharapkan pertolongan Mu untuk berjaya dalam kehidupan yang di pilih ini. Barulah terasa begitu berharganya masa-masa yang di biarkan berlalu tanpa amanah dan di hargai. Takutnya untuk menghadapi waktu itu. Waktu di bentangkan segala tindak-tanduk dahulu dan sekarang. Bergembiralah para wali Allah yang merindukan waktu untuk bersama Mu di kala itu Ya Rabb...

Untuk fatrah(tempoh)yang singkat ini, hidup perlu di biarkan sibuk memikul beban peperiksaan yang bakal di tempuh. Waktu ini perlu di nikmati dengan taqarub ila Allah(mendekatkan diri kepada Allah). Ingatlah keringat ayah di kebun atau ladang mencari rezki untuk menerbangkan mu ke negeri asing ini. Ingatlah air mata ibu yang mengalir ketika melepaskan mu di lapangan terbang di tanah air dahulu, mengharapkan dan mendoakan mu menjadi seorang yang berilmu dan beriman kepada Allah. Ingatlah harapan yang di luahkan kawan-kawan mu ketika engkau memberitahu akan keberangkatan mu ke negeri asing ini untuk mencari diri yang sebenar." Kau harapan kami, bantulah kami untuk mencari kehidupan yang subur mengikut jalan yang di redhai oleh Pencipta alam ini". Harapan azimat yang selalu di dengar membisik di telinga….. InsyaAllah akan ku kumpulkan segala tenaga untuk menjadikan harapan-harapan teman-teman ku semua menjadi kenyataan. Membantu semua orang yang memerlukan bantuan. Cubalah sehabis mungkin…..

Moga waktu imtihan yang bertandang ini akan berterusan menjadi tazkirah jiwa(peringatan) bagi ku. Bukan hanya sekadar di waktu ini, tazkirah ini akan terus bergema dan hidup dalam jiwa ku bagi melazimi dan mencari rentak kehidupan jalan yang berliku.InsyaAllah….biiznillah(dengan izin Allah).. Astaghfirullah hal adzim….buat mak, abah dan seluruh keluarga ampun maaf di pinta dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Dari mula menjadi manusia sehingga menjadi manusia kembali. Di pohonkan jua berkat doa kalian untuk ku dan seluruh teman-teman seperjuangan ku tidak kira di mana kami sekali pun. Harapannya moga dengan berkat doa tadi Tuhan berikan rahmat dan limpahkan kasih-sayangNya kepada kami untuk dirasai sebagai sebuah kejayaan dalam kehidupan dunia wal akhirat. Buat teman-teman seperjuangan, ampun dan maaf di pinta jika pernah melakukan kesalahan ataupun pernah diri ini mengguriskan hati kalian, lebih parah menyakitkan kalian. Ampunkan dosa teman mu ini. Mungkin diri ini masih di dunianya sendiri tidak memikirkan perihal orang lain. Maaf sekali lagi…..rasanya halaman ini akan berhenti seketika untuk fatrah imtihan. Bagi ruang untuk diri bersama merasa derita musim peperiksaan. Rasakan sepuas-puasnya….

1 ulasan:

Al-Amin Daud berkata...

mantap2x..teruskan mengasah bakat terpendam..