"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Isnin, 9 Jun 2008

Kembali bernafas dengan mudah

Hari-hari yang berlalu sepanjang fatrah imtihan(musim peperiksaan) cukup memenatkan dan melemaskan. Sangat terasa waktunya begitu panjang dan perlahan untuk dirintis dan dihabiskan. Kalaulah waktu sebegitu di terjemah di kala ingin merehatkan otak, alangkah singkatnya waktu. Hakikatnya waktu sekarang, masa-masa untuk berdamping dengan kitab kuliah dan muzakirah-muzakirah kuliah(nota-nota) telah berlalu di belakang.. Alhamdulillah…. Selesai masa melanyak diri..

Bila di ingat kembali suasana imtihan fasal thani ini(penggal ke-dua), rasanya amat berbeza sekali kehidupan jalan yang berliku ku. Dahulunya tidak malas sebegini, tidak panas sebegini, tidak santai sebegini, tidak ke sana dan ke sini. Dahulunya semuanya ke arah positif dan sejuk. Dan realitinya dari sudut musim, bezanya cuma fatrah ini semua mahasiswa dan seluruh rakyat negeri pasir berhadapan dengan cuaca panas yang membakar. Setiap udara yang di sedut jelas terasa akan bahangnya laju menerosok ke dalam kerongkong ku. Ianya jelas membakar anak tekak ku. Dan ketika itu, yang terbayang di fikiran hanyalah segelas asob(jus tebu) ataupun segelas tamar hind(jus asam jawa) yang menjadi jentera penyelamat kegelisahan kerongkong dan kemerahan anak tekak. Jauh sungguh perbezaannya dikala fatrah ula, musim sejuknya mencucuk jauh sehingga ke tulang sumsum...

Di hari peperiksaan(waktu memuntahkan apa yang di hafal ketika malam sebelumnya), seperti kebiasaanya setiap kali tiba waktu mempersembahkan kebolehan berhadapan dengan segala soalan yang bakal dibentangkan oleh doktor di dalam kertas soalan nanti, iaitu pada jam sepuluh pagi waktu mesir dan jam empat petang waktu malaysia, aku lah antara orang yang paling sibuk dengan nota-nota yang baru di buat malam tadi. Waktu inilah semuanya perlu di hadamkan supaya lumat di dalam kotak otak. Baru terasa ruginya waktu kelmarin tidak menghafal takrif sekularisme dari segi bahasa, baru terasa ruginya tidak bertanya kepada sahabat yang lebih arif tentang wasilah-wasilah(cara-cara) yang di gunakan oleh Sayyidina Muhammad (s.a.w.) dalam menyampaikan hadis kepada sahabatnya, barulah terasa yang waktu itu sangat-sangat singkat dan berharga.

Terbayang satu-persatu kata guru-guru yang pernah mengajar suatu ketika dahulu,”masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kamu”. Selain itu, tazkirah(peringatan) yang selalu terbayang ketika ini ialah, “demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka itu berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran”(maksud ayat Al-Quran 103:1-3)….. mudah-mudahan Allah jadikan aku termasuk dalam golongan orang-orang yang beroleh keuntungan(menghargai waktunya)…amin…

Secara realitinya fatrah imtihan kali ini berlaku dalam jangka masa sebulan penuh. Mula awal bulan mei, dan berakhirnya di awal bulan jun. Waktu pertukaran musim negeri pasir, dari musim sejuk yang mencucuk, kepada musim panas yang membakar. Kala ini segala baju tebal yang menjadi pelindung di musim sejuk dibiar tersimpan kemas didalam almari baju... Waktu kini sudah berubah, jam sudah di anjakkan cepat satu jam dari waktu asalnya. Entah mengapa jangan ditanya, malas untuk aku memberikan jawapannya.. biar jawapannya muncul sendiri ibarat menunggu miracle(keajaiban) seperti dalam kisah dongeng kanak-kanak. Seperti kisah puteri beradu yang menuggu putera ajaibnya datang melepaskannya dari sumpahan nenek sihir….pasti semuanya ma’ruf(telah mengetahui) akan cerita ini…tunggulah miracle(keajaiban) mu….

Mudah-mudahan dengan berakhirnya fatrah imtihan di musim panas ini, aku dapat mempelajari kehidupan di negeri pasir ini dengan lebih mendalam dan teliti. Harapannya, semoga segala usaha, doa, kegigihan, keberanian, ketelitian dalam menghadapi suasana peperiksaan yang berbeza ini akan diterima oleh Allah sebagai satu bentuk ibadah yang akan membuatkan Nya redho kepada ku di dunia dan akhirat… dan juga kepada Mu ya Tuhan, aku ingin meminta kasih sayang Mu untuk Kau berikan daku dan semua rakan-rakan ku kejayaan yang cemerlang dalam imtihan yang telah kami tempuhi, tidak kira di mana sekali pun kami berada. Samada di negeri pasir atau di negeri sendiri. Pandanglah pada doa ku Ya Allah…makbulkan lah ia….

…… fa iza a’zamta, fa tawakkal a’la Allah ……

Tiada ulasan: