"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Ahad, 10 Ogos 2008

Meniti Titian pelangi

Kelmarin sebelum segalanya bermula, aku jatuhkan pandangan jauh nun melihat langit di ufuk timur Negara pasir. Suasananya kelam dan semakin gelap. Cahaya mega senja kemerahan yang menjeling ke arah ku seakan-akan melambaikan tangannya untuk menukar hari yang sedia cerah menggantikan gelombang hitam pekat waktu malam. Nafas di tarik serak sedalam-dalam yang boleh. Udara yang menerojoh masuk terus ke dalam paru-paru ketika ini sangat bermakna untuk di nikmati dan di abadikan sebelum segala tindakan yang telah di persembahkan sebelum ini di ketahui sebentar saja lagi. Semuanya bakal terpampang di atas hamparan dinding kuliah Universiti. Perjalanan untuk masa hadapan yang hanya terletak di atas hamparan kertas yang di lekatkan di papan kenyataan taman Universiti. Semuanya bermula di situ!!..

Perlahan-lahan kaki melangkah masuk ke dalam Universiti mengharapkan segala prasangka baik selama ini terhadap ketentuan Ilahi menjadi kenyataan. Biar pun sebelum ini bayangan sosok jembalang yang menunggu di hadapan papan kenyataan mengganggu perasaan yang rapuh dengan kebolehan diri sendiri. Semuanya menanti rebah terlantar sakit akibat rasukan jembalang yang mengganggu perasaan tadi. Biarkan semua itu!!. Walau apa sekali pun keputusannya, itulah hasil dari segala usaha, doa dan tawakal yang di persembahkan sebelum ini. Rasanya saat tubuh melintas di hadapan pengawal yang menjaga pintu masuk Universiti tadi, langsung tiada sedikit senyuman pun yang dapat di ukirkan pada mereka. Apatah lagi hendak bertegur sapa. Maalish ya ustaz..(maafkan saya ustaz). Diri ini terasa seperti berada di satu tempat yang kosong tidak ada apa-apa. Ruang kosong putih yang bergema. Hanya diri ini berseorangan sesat dan keliru dengan rasa yang merajai kehidupan sekarang. Bersedialah… semuanya akan tersedar sebentar saja lagi.

Mata terpaku melihat segala yang tertulis di hamparan kertas putih itu. Aku kaget. Perasaan yang sukar untuk di terjemahkan. Rasa gembira bercampur terharu mengambil alih diri. Alhamdulillah!!… syukur atas segalanya. Alhamdulillah… Ya!!,memang aku gembira. Bayangan sosok jembalang yang menghantui sebelum ini sudah luput dari kamus fikiran. Sekarang rasanya seperti bumi sudah kehilangan akan gravitinya. Rasa seperti terapung terbang menuju ke arah pelangi. Dan meniti titian pelangi yang membengkok terus mencecah ke bumi semula. Bertemankan burung-burung kecil yang riang berterbangan membelah awan. Sangat bebas dan gembira. Alhamdulillah… syukur atas keputusan ini. Alhamdulillah daku bersyukur sangat-sangat kepada Mu ya Rabb…

Rasanya keputusan ini bukan semata-mata dari hasil usaha, doa dan tawakal ku berseorangan sahaja. Mungkin dari berkat doa suci mak abah yang tak pernah putus-putus terhadap ku. Mungkin berkat doa ahli keluarga, sahabat, dan teman-teman yang sentiasa bersama ku. Dan yang paling utamanya, mungkin Tuhan ingin beri peluang untuk aku supaya lebih berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang benar-benar berilmu. Moga ilmu yang diperolehi dapat memberi manfaat pada diri sendiri dan orang lain yang memerlukannya. Di kesempatan ini rasanya diri ini sudah banyak sekali terhutang budi pada semua individu yang melingkari hidup jalan yang berliku ini. Dan aku sendiri tidak tahu bagaimanakah caranya untuk membalas jasa mereka itu semua. Terutamanya sekali buat mak dan abah yang telah membesarkan aku dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Dan kepada mereka yang menjadi pendorong dan sumber inspirasi ku, jutaan terima kasih aku ucapkan atas segalanya. Diri ini terasa sangat bertuah memiliki kalian sebagai watak yang hidup dalam setiap langkah kehidupan jalan yang berliku. Aku sayang kalian semua!!..

Kehidupan akan bermula semula selepas ini. Perjalanan sebenar yang tidak di ketahui akan kesudahannya akan kembali ke tempat dan posisi asal mereka. Dan kali ini langkah ini semakin berat dan terus memberat. Memang kehidupan manusia tidak akan sunyi dari semua itu. Hidup di atas dua paksi, susah atau senang, gembira atau sedih, berjaya atau gagal, sakit atau sihat dan lain-lain lagi. Sunnahnya memang begitu. Hari ini kau gembira, esok lusa tak bermakna kau akan terus ketawa seperti hari ini. Dan begitu juga kalau hari ini kau bersedih menangis, lapkan air mata mu itu. Hari esok yang cerah berbunga akan menjemput mu menikmati suasana gembira yang tidak dapat kau jangkakan. Semuanya mesti ada hikmah dan sebab yang tersendiri.. dan buat masa ini, aku bersedih dengan diri ku dan gembira dengan KAMU semua yang melingkari kehidupan ku… kerana aku bukan seperti yang semua orang fikirkan siapa aku… maafkan aku...

Alhamdulillah syukur atas segalanya …….

Tiada ulasan: