"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Selasa, 7 Oktober 2008

Cahaya atas cahaya


Malam itu semuanya seperti biasa. Angin negeri pasir bertiup sayu mendodoikan jiwa-jiwa manusia yang di biar terbang berputar membelah ke setiap pelusuk alam maya untuk merasa desiran syahdu suasana malam. Dan memang fitrahnya malam itu sangat mendamaikan dan hangat. Waktu yang tercipta untuk manusia merasakan nikmat kehidupan sesama manusia. Waktu di mana manusia merebut dan membalas rasa cintanya terhadap Sang Pencipta yang Maha Kuasa. Waktu melepaskan segala beban kerja di siang hari. Waktu untuk bersyukur. Syukur alhamdulillah. Terima kasih Tuhan.

Saat itu rasanya roda hidup berputar terlalu lambat. Malam bagi ku masih tidak seperti mereka di atas sana. Merelakan dan membiarkan rasa bosan dengan hidup sebelum ini yang sentiasa mengejek ku dengan gerakan lambat yang minima. Enjin kehidupan ini perlu di baiki serba rapi. Motor yang di tunggang untuk mencapai redha Ilahi ini harus di perbaharui. Mesti mengikut suasana dan tamadun duniawi. Dan sudah semestinya kehidupan Islam itu sendiri bersesuaian dan kenyal untuk setiap masa, keadaan, tamadun dan apa sahaja. Campaklah jiwa ini kemana sahaja. Pasti Islam itu akan subur dan mekar bersama janji-janjinya. Moga Tuhan berikan kekuatan untuk itu. Aminn….

Aku mencium wangian ketenangan syurga firdausi melalui keterangan-keterangan dari langit. Juga melihat karangan karya Ulama’ terkenal Dr. Sayyid Sabiq dalam kitabnya Akidah Islamiyyah. Mata di buka seluas-luasnya. Menjamah satu-persatu bait-bait indah dan hujah-hujah konkrit itu semua menenangkan ku dari rasa bersalah atas gerakan minima di siang hari tadi. Sekarang motor kehidupan ini sedang bergerak mencari cahaya. Malam ini menjadi saksi untuk sedutan nafas kehidupan yang di amalkan ini. Seperti sebuah metafora yang di tunjukkan Pencipta segalanya dalam kalamNya ini. Baca dan teliti. subhanallah..(Maha suci Allah)..

"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah(1) (kitab suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykat”(2)yang berisi sebuah lampu ; lampu itu dalam gelok kaca (qandil), gelok kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang ; lampu itu di nyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja di sinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari) ; hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun tidak di sentuh api ; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda) cahaya berlapis cahaya(3). Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya(menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu ; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia ; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".(Maksud ayat Al-Quran 24:35).

Allah Maha Agung. Aku merindukan cahaya itu datang menerangi ku. Cahaya yang dapat menyelamatkan ku dari lubang gelap yang merantai kaki kisah hidup ku selama ini. Biarkan diri ini basah dengan limpahan cahaya itu selama-lamanya. Biar tangan kita saling berpaut semuanya untuk merasa desingan syahdu sinaran cahaya atas cahaya itu. Ayuh berlari bersama-sama ke arah cahaya itu. Sampaikan kami kepada Mu ya Tuhan.. harapan dengan rendah dirinya aku memohon supaya Kau berikan taufik dan hidayah Mu kepada ku dan orang-orang yang aku sayangi. Juga dengan rendah dirinya aku memohon Kau berikan keberkatan atas segala usaha-usaha kami untuk mendakap petunjuk cahaya Mu buat selama-lamanya. Perkenankan lah Ya Rabb....

----------------------------------------------------------------------------------------
NotaKaki :-
1. Allah Taala memberi hidayah petunjuk kepada penduduk langit dan bumi dengan dalil-dalil dan bukti yang terdapat dalam alam yang terbentang luas dan dengan ayat-ayat keterangan yang di turunkan kepada Rasul-rasulNya.
2. lubang yang tidak tembus yang diadakan di tembok(dinding rumah) sebagai tempat meletakkan lampu supaya pancaran cahayanya kuat dan tidak berselerak
3. Bandingan cahaya petunjuk Allah menyinari hati orang-orang yang beriman adalah ibarat sebuah lampu yang terang benderang yang terletak dalam tempat kurungannya. Bertambah pula lampu itu dalam sebuah qandil (gelok kaca), dan kerana jernihnya kaca yang tersebut menjadikan cahaya lampu itu gemerlapan laksana bintang di langit yang bersinar cemerlang. Lebih-lebih lagi minyak lampu itu dari pokok yang banyak manfaatnya iaitu pokok zaitun yang tumbuh dalam daerah yang sentiasa mendapat sinaran matahari, yang menyebabkan minyaknya jernih bersinar-sinar. Semuanya itu menjadikan cahaya lampu itu berganda-ganda.

Tiada ulasan: