"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Ahad, 28 September 2008

Harapan Lebaran


Aku jatuhkan pandangan ke langit malam. Suasananya kelam ketika itu. Taburan bintang kecil begitu menenangkan. Mungkin boleh di kira butirannya ketika itu. Suara imam yang meneruskan witir sayup di belakang telah aku tinggalkan. Di sini suasananya jelas sekali berbeza dengan tanah air ku. Jarang sekali dapat menunaikan solat trawih 20 rakaat seperti di Malaysia. Di sini kebanyakan masjidnya hanya melakukan 8 rakaat solat trawih dan 3 rakaat solat witir dengan 2 salam. Semuanya 11 rakaat. Cuma masjid Azhar as-Syarif di kaherah sahaja yang melakukan solat trawih 20 rakaat. Itu pun aku tidak berkesempatan lagi untuk melakukannya di sana. Aku hanya di nombor LAPAN.

Pulang ke rumah terus menyatu bersama suasana sunyi malam. Pergerakan terasa lambat. Tangan terasa hilang daya dan upayanya untuk melakukan apa-apa. Biarkan tubuh badan sebati dengan kepanasan selimut tebal musim sejuk. Walaupun hakikatnya musim masih di tahap panas dan merimaskan. Menghempas lelah kehidupan seharian yang membosankan dengan gerak tubuh yang minima. Aku putar-putarkan saluran fikiran ku saat itu satu-persatu. Satu, suara emak sudah lama tidak aku dengari. Dua, buku-buku falsafah hidup hampir berhabuk dan rosak di makan tikus. Tiga, bayang rupa tanah air semakin kabur dari pandangan. Seratus, hati sangat tidak enak dengan luahannya sendiri yang mencela sikap orang lain. Aku juga seperti mereka. Kalau aku benci dengan perbuatan mereka yang tidak sesuai dengan ku. Aku juga tidak sesuai dengan mereka. Sebab aku memBENCI. Tepat semula ke kepala sendiri.

Rebah di atas tilam usang yang berbonjol-bonjol kapas kekabunya. Pandangan di tujukan ke atas memandang ruang syiling bilik. Gelap, hitam dan menakutkan. Aku cuba selak helaian rutin harian ku sejak kebelakangan ini. Aku sudah terlalu jauh dari rumah. Aku tinggalkan penghuninya tanpa kata. Tanpa harapan mendoakan ku di sini, tanpa nasihat keramat yang bakal membangunkan jiwa ku, tanpa khabar kedua ibu-bapa yang tercinta di sana. Aku langgankan masa dan jiwa ku pada gerakan minima kehidupan seharian yang terlalu lambat. Hanya itu!!. Waktu-waktu begini pastinya emak sangat sibuk menyediakan segala macam jenis kuih untuk sambutan hari lebaran. Dan untuk tahun ini sudah masuk kali yang kedua aku beraya di negeri pasir. Perayaan yang tidak di sambut oleh ahli negerinya. Perayaan yang di sambut dengan takbir raya yang bernada rata tidak beralun. Sangat berbeza.

Dahulu di tanah air, saat terjaga dari lena di malam raya rasanya seperti bangun sebagai seorang yang baru. Rasanya ketika itu jiwa berkobar sangat bersemangat. Mana tidaknya, hari itu semuanya akan bertukar baru. Emak dan kakak akan mempersiapkan seluruh isi rumah dengan perkakas yang baru di tukar. Bukan baru di beli. Hanya di tukar. Rasanya seperti seorang yang baru di lahirkan semula. Paginya akan bersalam-salaman dengan semuanya. Bermaaf-maafan. Aku banyak sangat dosa dengan semuanya. Aku bukan anak yang baik, bukan juga adik yang baik, dan bukan juga abang yang baik. Aku terlalu mementingkan diri sendiri dan bersikap melulu dalam membuat keputusan. Maafkan aku di sini. Aku sekarang di sini berseorangan. Mengenang saat bahagia sewaktu bersama keluarga dahulu dengan membawa bayang ku pulang ke rumah. Dan sedarlah, hakikatnya jasad ini masih lagi di atas katil usang itu. Juga masih di bilik gelap itu sambil tidak sudah memandang dinding syiling atas itu. Semuanya kosong dan gelap. Seperti kebiasaanya.

Saat ini rasanya kaki ini ingin melangkah panjang terus ke rumah meminta ampun dan maaf pada ayah-ibu dan semuanya. Maafkan anakanda mu ini kerana sukar menjadi seorang anak yang soleh seperti yang di kehendaki mu. Juga, aku sangat rindukan pada teman-teman yang tidak pernah putus asa dengan karenah ku selama ini. Ampun dan maaf daku pinta dari mula perkenalan sehinggalah ke saat ini. Walaupun kau bertahan hanya sesaat Cuma. Perkenalan itu mengembirakan waktu-waktu sepi ku. Kepada hati aku bisikkan perlahan kepada gadis kecil yang tabah supaya dapat terus bertahan dengan rahsia ini. Rahsia yang tidak pernah aku persembahkan sebelum ini. Rahsia yang sangat menghiris perasaan ku sendiri. Maafkan aku atas rahsia itu. Semoga kamu baik-baik sahaja walau di mana sekalipun berada. Dan kepada semuanya, sekali lagi aku pohonkan keampunan di atas salah laku ku yang telah mengguris hati kalian. Lebaran ini mengingatkan ku supaya lari dari kehidapan yang bergelumang dengan gerakan minima seharian. Manfaatkan lebaran dengan Istighfar dan saling bermaafan.

Lupakan kisah duka silam yang terus-menerus menghentam kesalahan lalu mu itu. Kerana semua orang pasti melakukan kesilapan. Tidak sekarang, selepas ini atau seterusnya. Jangan lupa tempat bergantung hanyalah semata-mata kepada Tuhan. Pencipta segala sesuatu. Pintalah apa sahaja padanya. InsyaAllah akan di makbulkan. Yakinlah dengan iman itu. “Dan Tuhan kamu berfirman: “berdoalah kamu kepada Ku, nescaya Aku akan perkenankan doa permohonan kamu”(maksud ayat al-quran 40:60).

Tiada ulasan: