"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Isnin, 31 Mac 2008

Benamkan hujung kaki dalam perjuangan ini


Malam yang memenatkan telah berlalu menggantikan subuh yang sepi dan sunyi. Desingan di telinga ku begitu jelas di dengari menandakan bahawa akulah manusia yang masih wujud dan hidup pada waktu ini. Mungkin di kawasan asing ini kehidupan ahli negerinya begitu sepi, rahsia dan menikmati suasana sebegini. Dan aku adalah orang asing bagi negeri ini, yang mengasingkan diri ku dari mereka untuk menikmati kehidupan sepi, merasa desingan syahdu dan ketenangan yang menggamit jiwa ku untuk menghadap Yang Maha Esa(Pemberi ketenangan kala ini).

Hari semalam, hari yang panjang berlalu. Setelah tubuh ku diasak dengan sepenuh gerakan dalaman dan luaran, juga asakan jiwa dan perasaan antara kehidupan yang resah atau statik tiada pembaharuan. Dan natijahnya aku merelakan tubuh ku menerima contengan dan lakaran hidup jalan yang berliku untuk menjadi seorang manusia.Dan hakikatnya adalah seorang manusia yang diletakkan atas pundak bahunya tanggungjawab untuk memikul beban mentadbir dunia. Dan dikala waktu begini, hembusan angin sejuk negeri ini yang jelas dapat aku rasai telah mengingatkan aku akan salah satu tujuan hidup yang sebenar jalan yang berliku.

Dahulu,ditanah air, guruku selalu mengingatkan bahawa aku dan semua manusia yang meminjam udara di dunia ini adalah seorang pentadbir.Tambah lagi bagi mereka yang memang khusus dalam bidang mentadbir dunia ini. Dan aku adalah salah seorang dari mereka. Segala yang telah aku pelajari adalah untuk menjadikan diriku seorang pentadbir. Dan memang untuk membenarkan impian dan kata-kata itu perlulah di susuli dengan perjuangan. Ramai manusia yang berjuang. Dan kesemuanya mempunyai prinsip dan metodologi tersendiri dalam perjuangan itu. Berjuang membaiki diri sendiri, berjuang mengangkat kebenaran yang telah lama jatuh terjepok di tempat yang paling bawah dan hina, berjuang mengangkat martabat bangsa, berjuang memperkenalkan ideologi sesat yang kononnya bertamadun lagi moden, berjuang menentang kebatilan. Bahkan, ada juga yang berjuang untuk mentadbir dunia tanpa mempedulikan laungannya itu benar atau salah. "Matlamat menghalalkan cara". Laungan yang sering di guna pakai dan menjadi akidah dalam jiwa-jiwa pejuang yang mahukan kuasa mencengkam dunia dalam genggaman mereka tanpa hiraukan Penguasa segala kuasa.

Bagi ku perjuangan ini masih jauh, dan perlu dimulakan dari sekarang(selepas kehidupan baru yang telah lama bermula). Dan bagiku perjuangan ku ini patut dan perlu dimulakan daripada jalan yang berliku ini. Dan ini jalan-jalan yang aku rintis selama 23 tahun yang lepas. Dan semenjak dari itu, sudah tidak pernah lagi mual dan loya Orang tua ku mengingatkan tentang tugas yang perlu aku pikul sebagai seorang anak, lelaki, dan manusia. "anak ku, kau harapan keluarga, bantulah kami untuk menentukan jalan yang patut kami pilih ketika kami masih lagi boleh menghirup udara kotor dunia ini. dan jangan biarkan perahu yang tidak berisi kemudi hanyut di tengah lautan, nanti hanyutnya tidak pulang ke pelabuhan". Kata-kata sinis bermadah pada zahirnya memang tidak mengejutkan ku. Tapi ini satu wadah dan adat kemelayuan orang lama. Menyulami kata-kata dengan lirikan sinis, tepat dan dalam terus ke hati ku. Dan ia sentiasa segar dan menyinari hati ini sambil terus-terusan menjadi bekalan yang disiapkan oleh pengajar ku dari kalangan Ibu-Bapa ku yang tercinta, guru-guru ku yang di rindui dan teman-teman seperjuangan dalam kehidupan jalan yang berliku ku.

Kehidupan yang bakal diterjah dihadapan ku akan ku hiasi dengan pembaikan diri dan mengajak kepada pembaikan. Ini langkah pertama kaki ku dalam perjuangan jalan yang berliku. Dan bermulanya hujung kaki ku mencecah lembah perjuangan ini, aku perlu teruskan langkahnya dengan tenang, sabar dan istiqamah, kerana dalam perjuangan ini pasti banyak onak dan duri yang menunggu ku dan ianya pasti akan menjadi ujian dalam kehidupan jalan yang berliku. Biar luka, biar berdarah, biar harus untuk ku gadaikan diri ini untuk menjadi benteng tubuh manusia, perjuangan ini mesti diteruskan selamanya. Sedikit ataupun banyak. Semua ini persediaan sebelum berakhirnya waktu untuk ku di dunia ini. Dan bila waktu sudah berakhir, teman sejati yang menunggu adalah amal dan sepi….bimbinglah daku Ya Rabb………….

Khamis, 27 Mac 2008

Mata itu adalah kawan



Sepetang sebelum berteriak loceng jam di meja kamar ku, sampai satu pesanan dia(Gadis Kecil yang tabah). Mengingatkan tentang erti persahabatan yang sebenar. Isinya kawan itu ibarat dua mata. Tidak kira apa dan dimana pun ketika dia bersama-sama. Saling tolong-menolong, ketika menangis sama-sama mengalirkan air jernih yang ikhlas, ketika lelah sama-sama di hempap beban untuk meninggalkan suria dunia dan ketika terjaga dari mati yang singkat sama-sama membuka dengan senyuman segar. Meskipun mereka tidak pernah melihat antara satu sama lain. Alangkah unik nya kawan itu mata.

Dalam rentetan sejarah jalan yang berliku banyak karektor-karektor mata yang telah di lewati. Samada mata yang sihat, cantik, manis, baik, jahat, kasar, jijik dan sebagainya. Masing-masing dengan sifat-sifat yang tersendiri. Begitu juga aku. Dan sampai sekarang aku masih mencari di tapak manakah yang sedang aku berdiri. Dan kebanyakan mata yang aku temui telah membuat aku gembira, walaupun ianya sekadar sesaat masa. Tapi,memang lumrah kejadian sebagai makhluk yang tidak akan sempurna,dan tidak semestinya setiap yang indah itu akan terus indah buat selama-lamanya. Dan bagi ku mata yang jelik, kasar dan jijik itu juga memberi impak yang mendalam pada jalan yang berliku untuk aku menjadi matang dalam menempuh duri sembilu yang selalu menghalang di pertengahan simpang setiap keputusan ku..

Dan kadang-kadang mahu sahaja aku diamkan diri bila berhadapan dengan mereka. Tapi, kehidupan ini yang memerlukan tasamuh dan tolak ansur sesama manusia menyebabkan aku mengikut jejak mereka(mata kasar,jelik dan jijik). Bahkan di bumi yang tandus ini juga seringkali aku berdiam diri dalam situasi yang memerlukan untuk setiap anggota tubuh ku mengeji dan menghina mata-mata kasar ini. Walaupun kami berada dalam kelompok yang kecil, lemah dan asing lagi terpinggir di bumi ini(Ardun Kinanah), masih lagi muncul mata-mata kasar yang jelik yang sentiasa untuk menonjolkan kebodohan dalam menentukan sesuatu keputusan itu. Dan mata-mata ini tetap juling dengan pendirian kolot dan dominan itu. Sedihnya mereka adalah dari golongan ku yang sedikit ini. Aku dan mata-mata cantik ku hanya membiarkan perkara ini sehingga muak dengan diri sendiri dan hidup yang kami dustakan.

Semenjak kecil lagi telah banyak mata mengelilingi diri ku. Dari mata yang disebelah ku sehinggalah mata dihujung jasad ku. Dan mata-mata ini amat aku rindukan sekarang. Dia,(gadis Kecil yang tabah), telah mengingatkan aku memori indah ini agar aku sentiasa menjaga mata-mata ini dan menyayanginya dengan sepenuh hati ku tidak kira aku berada di mana pun sekarang ini. Aku perlu sedar kehidupan manis yang pernah aku lalui ini telah meninggalkan aku 23 tahun yang lalu, akan tetapi ruhnya tetap segar dan panas dalam jiwa lesu ku. Dan masih segar dalam ingatan ku Kaklah dan kumpulannya yang aku gelar Kumpulan Perempuan Muda Tauhid(nama yang baru diberi selepas aku bermonolog satu), mereka adalah teman-teman yang menghidupkan suasana kanak-kanak ku. " sebelum balik rumah nanti kita pergi cari pucuk paku dulu tau". Teringat kata-kata kaklah yang mengajak kumpulannya untuk mencari pucuk paku sebelum balik ke rumah masing-masing selepas sehari suntuk di sungai belakang rumah ku berkubang mencari keseronokan zaman kanak-kanak. " kalau ada pucuk paku baru la mak tidak marah kita mandi sungai". Senantiasa itu menjadi alasan yang sering digunakan oleh ahli kumpulannya untuk berkubang di belakang rumah, dan alasan itu juga yang telah memberi kebahagiaan pada aku untuk merasai waktu yang telah berlalu itu dengan sepenuhnya. Mata-mata kamu aku dambakan disini pada waktu ini.....

Setelah tercampak di bumi asing ini aku bertemu dengan berbagai jenis mata, hitam, biru, hijau, coklat, merah dan sebagainya. Dan aku bersyukur dengan mata yang baru aku lihat disini dan juga mata yang selama ini mengekori melirik aku dalam sedar dan tidak. Aku sayangkan mata-mata ku semuanya. Dan sayang ini tidak akan aku pecah-pecahkan dan keping-kepingkan tanpa pembelaan. Akan ku usaha menghidupkannya sehabis mungkin supaya mata-mata yang aku sayang ini tidak bertukar menjadi mata yang jelik, kotor, dan jijik. Nanti ianya bisa menjadi virus mata yang boleh merebak ke mata-mata lain sehingga aku terpaksa menutup penglihatan ku dari melihat mereka yang di jangkiti itu. Menjadi kewajipan ku untuk cuba menjadi mata untuk mereka seperti mana yang aku inginkan mereka pada ku. Mungkin bahasanya pelik dan janggal. Tapi inilah azam ku setelah di kejutkan oleh dia (Gadis Kecil yang tabah),akan aku perbaiki diri ku untuk menjadi mata yang selalu dan sentiasa melihatnya. Walaupun pada hakikatnya aku memang tidak bisa untuk melihat dia. Tangan ku tidak sampai untuk menjaganya dan hati ku ini tidak ada upaya untuk meluahkan apa yang ada. Aku sorokkan jauh di hujung dunia hati ku. Biarlah rasa ini menjelajah alam gelap hati ku yang mengharapkan mata daripada dia. Menjadi mata yang sentiasa memerhatikan dari jauh ataupun dekat keadaan nya adalah sama. Untuk pandangan hati ini…biarlah aku terus memerhatikan tanpa disedari oleh dia(Gadis Kecil yang tabah)…

Rabu, 26 Mac 2008

Usman Awang permata Melayu yang sukar diganti


Oleh : DUNIA PENYAIR, AZMAN ISMAIL

USMAN Awang. Nama ini tidak hanya sebahagian daripada khazanah keilmuan Melayu. Tetapi ia juga merupakan permata intelektual yang dimiliki oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Dalam sejarah kepengarangannya, Allahyarham berkarya bukan hanya di atas nama kaum Melayu semata-mata tetapi juga merentas sempadan etnik dan sistem kepercayaan - atas nama kemanusiaan serta kesejagatan.
Persoalan besar yang sentiasa diutarakan olehnya ialah bagaimana pengarang menjadi lidah masyarakat dalam menyuarakan hak, rasa, pandangan dan kepentingan mereka kepada kelompok yang berkuasa.
Bagaimanapun, Allahyarham tidak meletakkan ‘perjuangan’ masyarakat bawahan dalam wacana konflik. Sebaliknya ia disampaikan melalui ketajaman pena dan kehalusan kata.
Sebagai pembaca, kita jangan mengharapkan pemikiran Allahyarham diterapkan dalam karya-karya berbau penentangan dan kekerasan. Sebaliknya, keadilan dituntut melalui kejernihan akal rasional.
Sesekali bila membaca karya-karya Allahyarham sama ada genre puisi, novel mahupun drama pentas, ia akan mengingatkan kita pada Justice is Conflict, karya Stuart Hampshire.
Dalam erti kata, sama seperti Hampshire, Usman berpandangan bahawa kejernihan akal rasional dalam memperjuangkan keadilan adalah cara terbaik untuk mencapai matlamat.
Oleh itu, karya-karya Allahyarham setia mendukung semangat persahabatan sebagaimana jiwa kemelayuan itu sendiri. Menikam dalam kelembutan kata-kata dan kepetahan bermain bahasa.
Seperti yang diungkapkan oleh penulis, Zaen Kasturi, Allahyarham merupakan permata intelektual Melayu yang lahir atas semangat kesedaran untuk memperjuangkan masa depan dan jati diri bangsanya.
“Kata-kata dalam puisinya adalah lambang Melayu sejati yang cinta akan akarnya. Keterpesonaannya tertancap kukuh pada alam yang melahir, membesar dan mendewasakannya.
“Jiwa puisinya adalah jiwa Melayu tulen. Cintanya tidak mengenal batas. Daripada nelayan dan buruh kasar
sehinggalah Melayu yang menduduki kepimpinan tertinggi, dia menegur menerusi kata-kata lembut dan menusuk,” katanya.
Zaen berpendapat, membaca karya Allahyarham, terutama puisi-puisinya, kita tidak berasa marah atau terhina akan tegurannya itu.
Malahan seharusnya berterima kasih kerana dia memberikan kita rasa untuk berfikir bahawa kita harus menjadi Melayu yang kenal peribadi sendiri.
Oleh hal yang demikian itu, karya-karya Allahyarham akan tetap subur sebagai khazanah bangsa yang begitu berharga. Memang Allahyarham adalah sebutir permata di dalam kesusasteraan tanah air yang sukar dicari ganti.
Hari ini, setelah enam tahun pemergiannya, perjuangan dan idealismenya dalam memartabatkan bahasa, kesusasteraan dan kemanusiaan sentiasa hidup dan mekar mewangi.
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan berkata, ‘kekuatan’ utama Allahyarham ialah unsur kritikan sosial dalam karya-karyanya.
Allahyarham dalam beberapa karyanya melontarkan kritikan terhadap kepincangan-kepincangan dalam birokrasi serta terhadap segelintir pemimpin yang tidak jujur.
Namun, teguran tersebut dilontarkan dalam kerangka pemikiran Melayu yang sentiasa berlapik dan bersopan. Kehalusan kata sentiasa menjadi keutamaan kepada Allahyarham.
“Semangat untuk membela nasib orang Melayu dalam karya-karya Allahyarham cukup kuat. Ia ditulis dalam bahasa yang mudah tetapi memadai untuk menyedarkan semua pihak.
“Inilah kelebihan yang ada pada beliau. Dengan bahasa yang mudah, ringkas tetapi padat, karya-karyanya mampu menegur banyak pihak secara halus serta berlapik,” katanya.
Di sisi lain, Mohamad Mokhtar berpendapat karya-karya Usman membuktikan Allahyarham berfikiran jauh dalam melihat pelbagai isu khususnya berkaitan dengan masa depan orang Melayu.
Kebanyakan isu yang diutarakan tidak hanya menggambarkan situasi semasa. Sebaliknya juga idealisme untuk memajukan orang Melayu pada masa depan.
“Pandangan-pandangan seperti ini tidak banyak ditemukan dalam penulis-penulis Melayu yang sezaman dengan Allahyarham. Apa yang diutarakan adalah isu semalam, hari ini dan masa depan.
“Saya rasa ini kekuatan utama dalam karya-karya Allahyarham. Ia membuktikan Usman seorang pengarang yang berpandangan luas meskipun tidak mempunyai pendidikan tinggi,” tambahnya.
Pandangan-pandangan Zaen dan Mohamad Mokhtar sebenarnya hanyalah contoh kecil daripada segudang jasa Allahyarham dalam memartabatkan bahasa, sastera dan masa depan orang Melayu sendiri.
Bagaimanapun, berapa ramai barangkali antara penyanjung, peminat dan pengagum Usman yang terus mengingati makna sebenar 29 November dalam erti kata `pergi sebutir permata keilmuan Melayu?’
Usman tidak hanya sekadar pengkarya besar yang pernah dilahirkan oleh sebuah negara bernama Malaysia tetapi juga seorang pemikir agung yang merentasi zamannya.
Ketika meletus peristiwa permogokan Utusan Melayu pada Oktober 1961, Allahyarham dan teman-teman seperjuangan menunjukkan harga diri yang tinggi demi masa depan bahasa dan orang Melayu.
Di Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), suara Allahyarham begitu lantang memperjuangkan maruah bahasa Melayu. Begitu juga ketika Peristiwa Keranda 152. Peranannya telah membangkitkan kesedaran kepada banyak pihak supaya tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan itu.
Ketika kampus universiti di negara ini bergolak, Allahyarham turut meletakkan dirinya dalam peristiwa berkenaan. Beliau menunjukkan keprihatinan sebagai seorang manusia yang hidup dan sedar kepada persekitarannya.
Kesimpulan ringkas, pengkaryaan dan perjuangan Allahyarham sentiasa dekat dengan dunia nyata, dan di mana perlu menyatakan pendirian melalui tulisan yang beralas tetapi tetap mengesankan.
Kini sudah beberapa tahun Allahyarham meninggalkan kita. Namun, ketajaman pena dan kehalusan bahasa beliau tidak pernah mengikuti jasadnya. Ia terus subur, sesubur jasanya yang ditabur demi kelangsungan bangsa Melayu dan negara Malaysia.

jelasnya disini,aku begitu meminati setiap karya-karya yang pernah dihasilkan oleh Allahyarham. Mutiara kata-katanya begitu terkesan dalam jiwa ku untuk menjernihkan jelaga dihati pendengar. Beliau ibarat sebuah kapal yang besar,laju,tetap sambil membawa bersamanya hati kita untuk berlayar bersama. Al-Fatihah..

Kehidupan baru yang telah lama bermula.


Waktu mula berpisah dengan mereka banyak benda dan perasaan yang bermain di fikiran ku, antaranya kesedihan dan kepahitan perpisahan itu sendiri, selain daripada itu aku juga mula menggerakkan jasad yang lemah dan layu oleh perpisahan itu bersama azam yang baru untuk mencari kehidupan yang sebenar. Aku mahu lari dari dunia yang aku cipta selama ini, dunia yang hanya mementingkan perasaan diri sendiri tanpa mempedulikan orang yang berada di sekitar ku. Dunia yang telah mengoyak setiap denyutan nadi batang tubuh ku untuk mencari kepuasan diri semata-mata. Akhirnya aku di tinggalkan oleh dunia itu sendiri tanpa sempat untuk aku mengejarnya kembali.

Kehidupan terus di sambung di bumi yang tandus dan asing ini membuat aku mengerti akan kehidupan manusia yang sebenar. Jauh dari kehidupan sendiri membuatkan aku lebih tabah dalam menghirup angin sejuk panas di sini. Jalan yang aku lalui ini memerlukan ketahanan untuk berusaha mendapatkan ketenangan. Semua ahli negeri berlumba-lumba untuk mencari ketenangan itu. Tapi, bagi aku semak yang menimbun di benak kepala ku seperti sudah di lapangkan bila berada di sini, walaupun hakikat dari pandangan kaca mata yang sebenarnya aku di kelilingi oleh jiwa-jiwa yang rakus dan kasar. Aku di asingkan mereka dengan pandangan-pandangan jelik dan asing. Kata-kata kasar yang selalu di lemparkan kepada ku juga telah menjadi makanan ruji bagi ku."hongga-bongga!!"…jeritan yang selalu di dengari oleh ku sambil di selangi dengan kata-kata yang sukar di fahami. Mungkin mereka menganggap orang Asia ini berasal dari hutan seperti orang asli Afrika tu… entah la,sukar untuk di fahami dan di tafsirkan disini.

Di bumi gersang ini seribu macam pengajaran telah aku perolehi, tambah lagi tentang ilmu rohani (metafizik). Dan yaling terkesan dalam jiwa aku sekarang adalah ilmu 'kesabaran'…iaitu belajar bersabar dalam sesuatu perkara. Tidak kira samada perkara yang aku sayang atau benci. Dan ia memang kehidupan baru yang aku terima di sini. Selalunya bila berseorangan, di waktu malam, di waktu sedang menderita akan insomnia, aku akan bermonolog tentang kehidupan ku. Dan yang paling aku gemari monolog tentang masa depan ku. Ahh..soal masa depan harus di tentukan oleh Sang Maha Pencipta sahaja. Tapi,sebenarnya masa depan memang patut dan wajib untuk aku tentukan sendiri, sambil di selangi dengan ketetapan Yang Maha Kuasa. Dua elemen yang tidak boleh di pisahkan(kata guruku yang juga kawanku…hehe). Orang yang membiarkan masa depan sewenang-wenangnya di tangan Tuhan bagi ku adalah orang yang berputus asa. Ini bukan sifat yang patut aku ambil dalam melakar dan mencorakkan kehidupan baru ku yang telah lama bemula ini. Dalam Quran yang mulia pun ade di tulis tentang larangan berputus asa. Jikalau begini aku tidak boleh putus asa dalam mencari kebahagiaan yang aku sudah lihat pada seseorang itu(Gadis Kecil yang tabah macam dalam Friendster aku tu). Aku nampak ciri-ciri yang aku cari selama ni ada kt dia(Gadis Kecil yang tabah). Tetapi perasaan malu yang menebal dalam dada membuatkan aku masih membiarkan rahsia perasaan ku terus menjadi rahsia kepada diri ku. Aku biarkan rahsia itu berlalu seperti angin musim sejuk di sini(Mesir). Ia datang dan berlalu sejuk dan menyakitkan. Kadang-kadang terasa nyilu di pangkal hati ku dengan fenomena sebegini...fenomena yang berlaku dalam diri aku sendiri. Dan aku juga payah untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Sekarang, yang paling penting di sini kehidupan mesti di teruskan. Dan kehidupan yang perlu di terukan itu adalah kehidupan yang baru. Dan ianya telah lama bermula semenjak tibanya aku di tanah asing ini. Dan soal dia(Gadis Kecil Yang tabah), akan aku selitkan dalam perjalanan hidup ku juga. Moga menjadi pendorong untuk aku menjadi yang terbaik, dan mengubah hidup ku yang pernah musnah suatu masa dahulu….yang kenal dan tahu sahaja akan mengerti semua ini.

Isnin, 24 Mac 2008

Monolog satu

Menyimpan identiti diri yang sebenar. Selepas ini aku harus menyimpannya dengan baik. Sikap buruk dan tergesa-gesa menikam diri ku sendiri. Akulah insan yang sering terperangkap dengan kata-kata sendiri. Entah mengapa jika aku kurang memahami ...soalan yang ku timbulkan merangsang kemarahan orang lain. Keliru dengan identiti sendiri..
Haruskan menyimpan segala kebodohan ....atau mendapatkan penjelasan yang lebih baik jika banyak persoalan bergegar di akal ku. Menjadi prinsip ku sebolehnya mengurangkan kesusahan orang lain, terutama kawan-kawan, biar aku susah sedikit daripada merosakkan kepercayaan orang lain terhadap perilaku ku. terlalu sukar bagi ku berdiri dan berlari..dalam kekeliruan.

Inilah sebenarnya mengganggu langkah ku.

Diskriminasi sebegini begitu lama melanda ruang hidup ku. Sampai bila aku harus menutup mulut ku. Meletakkan peranan ku jauh ...dan terbelenggu. Barangkali benar dan ia lebih baik dari menyakiti. Mulai hari ini dan seterusnya aku harus mengunci mulut ku dari berkata-kata dan menerima apa sahaja dengan tidak banyak bicara. Aku juga harus belajar berada jauh-jauh dari kelompok orang-orang yang lebih berakal dan berkuasa.

Mulai hari ini dan saat ini apa yang ku pelajari adalah milik sendiri...jika ada yang sudi menjenguk kehidupan ku, akan mengenali lebih jauh siapa aku. Aku tidak akan peduli sesiapa sahaja yang lebih hebat dari ku, kerana bagi ku hidup ini sebenarnya tiada yang sempurna,kosong, ibarat satu persinggahan di bawah sebatang pokok yang rimbun dan tidak berbuah dan dari kaca mata ku...dia,engkau dan aku sama...masih bingung dengan perjalanan yang baru aku lewati sebelum tiba di bawah pokok itu.

Maaf, aku akan tinggalkan terus kehidupan silam dan menjelajah kehidupan seterusnya dan tidak terkilan apa-apa pun meskipun aku di bayangi dengan duri jalan yang berliku.