"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Isnin, 30 Jun 2008

Meneruskan Hidup



Aku membawa diri terbang bersama angin dan debu negeri pasir. Langkah kaki terus mengikut rentak kehidupan seharian yang memenatkan dan sunyi. Sebelum ini ada di kalangan ku yang segelintir ini telah terbang menempuh laut china selatan menuju ke tanah air. Menghabiskan fatrah santai dekat bersama keluarga tersayang. Bertentang empat mata bersama keluarga tercinta di Malaysia. Di sana nanti dapat lah mencium bau harum rambut emak, mengesat peluh suci ayah, dapat menghirup udara sejuk kampung, melihat bumbung rumah gadis idaman, dan paling utamanya, dapat lari dari kehidupan yang membakar di negeri pasir ini.

Buat yang masih disini, kehidupan mesti diteruskan. Mesti membuahkan hasil kehidupan yang ranum, masak dan elok. Kehidupan walau di mana-mana sekalipun perlu di teruskan. Di bajai, di jaga, dan di rawat agar ianya hidup subur membuahkan rasa indah yang berbunga. Biarpun sakit, lemah, kecewa, berdiri, duduk, atau terbaring jasad itu. Kehidupan mestilah menghasilkan manfaat. Tidak pada diri sendiri, mungkin bermanfaat pada orang lain yang sentiasa mengikuti rentak hidup jalan yang berliku itu...

Keadaan akan menjadi seperti biasa. Biarkan rasa sunyi dan sepi yang bertandang selepas ini menjadi makanan harian yang selalu di jamah. Dari mula mata di buka, sehinggalah ianya di tutup kembali. Paksa diri untuk membiasakan dengan keadaan sebegini. Selepas kepulangan beberapa orang sahabat ke tanah air baru-baru ini baru terasa bahawa diri ini sebenarnya bukan berada di negeri sendiri. Sekarang, mulut ini menuturkan bahasa asing yang sukar di fahami, mata ini menonton kehidupan manusia aneh yang jelas berbeza dari kehidupan asal di negeri sendiri, kaki ini berpijak di atas tanah gersang yang panas dan membakar. Debunya melayang ganas menampar apa sahaja di hadapan. Kalau mata melihat kejauhan nun di tengah pasir ini, pasti fatamorgana akan muncul untuk memberi harapan palsu kepada pengembara sahara.

Ya Allah, jauhkan aku dari tipu daya fatamorgana dunia ini… kuatkan daku ya Allah..

Di sini ujiannya getir sekali. Rasanya seperti memikul beban yang tidak pernah berkurangan. Beban statik yang memberatkan seluruh jiwa dan raga ku. Mengikat kaki ku agar tidak boleh berjalan, menyiat kulit membiarkan aku tersiksa sendirian, memusingkan fikiran dengan kabus ribut yang sesak di awangan minda. Ujiannya datang silih berganti. Seperti musim negeri pasir yang berubah mengikut peredaran bumi. Nah ujiannya!!.. Berhadapan dengan perangai ahli negerinya yang bermacam-macam, berhadapan dengan cuaca menggilanya, berhadapan dengan kesusahan komunikasinya, berhadapan dengan makanannya, bukunya, rumahnya, tremco nya(alat pengangkutan awam) dan semuanya!!..

Ujian datang untuk mematangkan jiwa dan memberitahu makna kehidupan yang sebenar. "patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan di biarkan dengan hanya berkata: "kami beriman", sedang mereka tidak di uji".(maksud ayat Al-Quran 29:02)

Untuk kehidupan singkat yang pernah di lalui sebelum ini, rasanya sudah banyak peluang berharga di lepaskan tanpa penyesalan. Rasanya seperti air sungai yang mengalir di depan mata. Ianya terus-menerus mengalir menuju ke muara, dan akhirnya bersatu sebati menjadi laut. Tidak mungkin air yang sama akan mengalir di tempat yang sama seperti sebelumnya. Sangat terasa hinanya diri bila memikirkan betapa besarnya kasih sayang dari Sang Pencipta, walaupun diri masih lagi dalam keadaan sulit untuk menghayati erti sebenar kehidupan hamba, walaupun diri masih lagi di buai mimpi indah yang kosong tidak bersuara, namun rahmat daripada Nya tidak pernah putus sehingga membawa ku ke negeri asing ini. Mencari kehidupan baru yang telah lama bermula. Inilah peluang. Teruknya hidup jika melupakan semua itu.. waktu ketika peluang dipersembahkan di hadapan mata untuk di rebut dan di sambut menjadi penawar luka dosa yang lama..

Rasanya hidup ini terlalu singkat, apatah lagi jika sudah mengetahui bilakah waktu berpisahnya ruh dari ikatan jasad. Ketika itu, semua perkara hanyalah semata-mata untuk Pencipta. Dialah yang menciptakan, dan Dialah yang mematikan. Hatta untuk setiap semua perkara di dunia ini Dialah juga yang menguruskannya. Carilah hingga ke hujung dunia sekalipun apa sahaja yang bukan di bawah kekuasaanNya. Walaupun sehingga di perut bumi!!.. pasti hanya Dialah satu-satunya yang menguruskannya. Allah Maha Agung dan Berkuasa..

Alangkah indahnya hidup jika segala yang di lakukan hanyalah semata-mata kerana Allah…

Selasa, 24 Jun 2008

Sakitnya menahan sakit

Dari liku puncak bukit,turun ke lembah paling dalam. Ke dua- duanya sayup di kejauhan. Inilah ombak kehidupan yang setiap manusia pasti akan harungi. Hakikat diatas lapangan dunia, hamparannya hanya dua. Pro atau kontra, Baik atau jahat, sedih atau gembira, sakit atau sedap.

Sekarang sakit mengambil alih hamparan dunia. Badan semakin hari semakin panas, leher membengkak, rambut bertambah panjang. Tidak terurus. Kepala selalu terawang-awang. Khayal dengan rasa yang mendera jiwa. Sekarang rasa sedap telah menjauh. Seakan-akan rasa itu telah mengucapkan selamat tinggal pada ku. Ucapannya seperti memberitahu ku bahawa pertemuan mungkin tidak akan berlaku lagi selepas perpisahan ini. Sakit menjadi raja dalam diri...

"Cepatlah berlalu pergi wahai masa". Badan ini rasanya sudah tidak mampu menahan sakit. Terasa bumi seperti melambatkan peredarannya. Berbetulan dengan prinsip hamparan dunia, tidak mungkin rasa sakit dan sedap dapat di dudukkan bersama. Nah!.. ini buktinya. Ketika rasa sakit yang merajai diri ketika ini, semua perkara di rasakan hambar. Tidak berbunga-bunga seperti dahulu. Semangat yang pernah wujud dalam jiwa untuk melihat hari esok pun sudah terpadam. Rasanya seperti mahu di tamatkan sahaja hari ini. Tiada lagi hari esok.

Jalan yang berliku ini sarat menanggung banyak makna rahsia yang belum di rungkaikan. Hanya diri sendiri yang lebih mengetahui berbanding orang lain. Sakitnya, sedihnya, kecewanya. Semuanya bergantung atas paksi hamparan Pro dan Kontra. "Kalau hari ini bersedih, mungkin esoknya akan gembira".. begitu tafsirku. Segala Kejadian yang berlaku mesti mempunyai hikmah-hikmah yang tersendiri.

Gadis kecil yang tabah. Nama yang sering muncul dalam kotak fikiran ku. Dia setabah namanya. Sudah begitu lama aku tidak menulis tentangnya. Mungkin atas rasa sakit yang menggila ketika ini aku hidupkan semula nama itu. Selepas ini aku tidak akan terkilan dengan kehilangan rasa indah yang pernah aku rasa padanya. Biarpun rasa itu hanya aku sendiri sahaja yang merasakannya. Rasanya diri ini langsung tidak layak di gandingkan dengan orang tabah sepertinya. Kalau nak di gandingkan mungkin tepat ianya seperti burung kenari yang ingin terbang sama tinggi dengan burung helang. Tidak mungkin akan berjaya...

Hal ini sudah berulang kali aku fikirkan, dan ini mungkin jawapan yang paling tepat bagi diri ku. keluar dari obsesi gila pada gadis kecil itu. Seperti juga sebelumnya, pasti ada hikmah yang terselindung di sebalik rasa ini. Dan aku tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini antara aku dan dia(gadis kecil yang tabah). Saat ini, semuanya bergantung pada keadaan. Dan yang paling utama, aku mahu segera sembuh dari kesakitan ini....

...bantulah daku ya Rabb...

Selasa, 17 Jun 2008

Semangat Tentera Turki


Hati melonjak riang selepas tamat perlawanan antara hidup mati pasukan Turki menentang Republic Czech malam tadi. Turki menang dengan semangat juang 3 berbalas 2 ke atas Republic Czech. Mana tidaknya, awal separuh masa pertama cukup membosankan. Semua serangan tidak menjadi. Tidak kira samada dari sayap kanan Arda Turan,(pemain sayap kanan Turki) mahu pun kapten pasukannya Nihat. Semuanya lesu. Gayanya macam pertama kali menendang bola. Ahh.. cukup membosankan. Bosan sampai mengantok. Muak rasanya untuk di ceritakan babak separuh masa pertama.

Tepat dengan situasinya, malam ini hanya aku berseorangan terjerit-jerit semangat dan mengeluh kecewa untuk setiap gerak-geri yang di pamerkan oleh pasukan Turki. Hari ini aku seharian di rumah. Mula dari semalam lagi, selepas tamat perlawanan bola antara Sepanyol dan Sweeden, hati terasa rindu sekali akan katil sendiri. Tidak lagi rasa ingin menumpang kasih katil sahabat seperti hari-hari yang sebelum. Nah!.. oleh sebab itu, malam ini aku keseorangan menonton pertarungan getir pasukan kesayangan ku Turki bagi melayakkan diri untuk meneruskan saingan mewakili kumpulan A bersama-sama Portugal.

Separuh masa kedua semuanya berubah. Seakan-akan sepertinya Fatih Terim(jurulatih pasukan Turki) itu telah memberi suntikan dadah rangsangan untuk pasukannya mencapai kemenangan. 3 gol dapat di jaringkan untuk tempoh 45 minit separuh masa kedua. Sekaligus dapat memintas mata Republic Czech yang tadinya mendahului dengan 2 berbalas 0. Bila di imbas kembali dahulunya Turki, ia merupakan pusat pemerintahan kerajaan Khilafah Uthmaniyah. Mungkin semangat jihad tentera-tentera Islam di zaman kegemilangannya dahulu masih segar dan mengalir dalam tubuh Arda, Nihat, Servet dan semuanya. Entah, aku tidak tahu. Cuma beranggapan bodoh sahaja. Mudah-mudahan tepat...

Mata yang berat kembali segar. Puas sungguh. Pasukan yang di sokong sepertinya mengikut segala arahan ku. Rasa indahnya saat ini seolah-olah seperti sedang mengaut keuntungan hasil tanaman padi setelah kurang setahun menanam, membaja, meracun dan menjaga. Hari ini seperti segala yang di rancang semuanya menjadi. Hati berbunga-bunga. Mekar dan segar. Rasa puas, bangga dan terharu. Terima kasih kerana hidupkan hati ku yang gundah di awal separuh masa pertama…

Inilah semangat Turki....

Rabu, 11 Jun 2008

Malam yang indah


Semalam angin malamnya cukup mendamaikan. Cukup selesa dan bermakna untuk di hargai ketika ini(musim panas). Mungkin waktunya tepat, seakan-akan mengetahui bahawa aku dan semua mahasiswa di universiti telah selesai menjalani imtihan(peperiksaan)fatrah thani(penggal ke-dua). Keadaannya seperti meraikan kebebasan kami selepas sepurnama di cengkam pertarungan dengan emosi dan tekanan dalam menjalani peperiksaan. Ahh…nyaman sungguh ketika angin menampar pipi diwaktu ini. Jam sudah menunjukkan pukul lapan malam waktu negeri pasir. “assalamualaikum warahmatullah….” ku palingkan wajah ke kanan di turuti ke kiri menuruti rukun solat Imam Sameer Barakat(Imam tetap masjid Ibadur Rahman madinah salam)…

Seusai solat fardhu maghrib di masjid Ibadur Rahman Madinah Salam(bandar Salam, tempat permastautinan ku di negeri pasir) aku harus segera menuju ke madinah Dirasat(Bandar Dirasat), sebuah lagi bandar yang menjadi nadi kehidupan bagi penduduk satu wilayah di negeri pasir. Di sana tempat permaustautinan sahabat-sahabat ku. Malam ini janji mesti di kotakan. “jangan lupa untuk ke bandar Gamaah(salah satu bandar di wilayah negeri pasir) malam nanti ya!!..” kata sahabat ku mengingatkan supaya tidak lupa akan janji kami untuk berehat-rehat dan berbelanja di sana malam ini…

Malam ini semuanya bergaya. Setelah sekian lama menanti untuk mengenakan baju baru yang masih belum di keluarkan dari musim sejuk yang lepas. Malam ini dendam sudah terbalas. Mana tidaknya, musim sejuk dahulu baju tebal telah menutupi segala baju-baju di dalamnya. Tak usah di fikirkan tentang apa yang di dalam baju tebal.. fikiran berpusing ligat untuk malam ini. Aku mengenakan jeans dan kemeja biru, siap di seterika lagi. Wah!!…cukup bersemangat... ada yang berbaju bunga, berseluar slek, berbaju melayu..memang gila semuanya… masing-masing tersenyum sendirian…

“anta auz eh?”(apa yang awak mahu), kata lelaki misai di kaunter permintaan sebuah restoran terkemuka di sekitar bandar Gamaah, suaranya sahaja sudah cukup untuk menggetarkan hati sesiapa yang mendengarnya... cukup bersahaja dan kasar, mungkin akibat dari tekanan kerja yang membebankan.. tambahan pula dengan misainya yang seakan-akan misai pelakon drama swasta A.Galak dalam cerita Gerak Khas di Tv1 sudah cukup untuk memberitahu bahawa aku perlu segera membuat tempahan makanan tanpa perlu bertanya soalan-soalan bodoh ku...

”gibli wahdah dinner box maa bebsi”.(berikan saya satu set dinner box dan segelas pepsi) bergetar suara ku ketika mata ku bertembung tepat dengan mata lelaki misai… pesanan ku di sambut oleh sahabat-sahabat yang lain dengan menu kegemaran masing-masing…. Suapan diakhiri dengan doa bersama-sama sahabat. “alhamdulillah hillazi at’amana wa saqona wa ja’alana minal muslimin”. Syukur pada Mu ya Allah…

Malam ini perjalanannya di penuhkan dengan taburan bunga kegembiraan gelak tawa kami. Di negeri pasir yang penduduknya begitu asing melihat orang kecil seperti kami, ku cuba mencari ruang-ruang untuk bernafas menghidupkan hari-hari kami di sini. khasnya untuk malam ini, kami menyusuri kehidupan bandar Gamaah yangt di terangi lampu neonnya. Sangat menyinari hati-hati kami yang sedang melonjak terbang melayang bersama debu negeri pasir. Ramai sekali penduduknya meraikan malam ini. Ada yang bertudung litup serba hitam, ada yang berskaf pendek warna-warni, ada yang ketat berbonjol terjojol... ada yang bersama keluarga tercinta, ada yang bersama kekasih setia, ada yang sedang leka bekerja mencari sesuap nasi untuk menyambung hidup menempuh hari esok. Ada nya malam ini bermacam-macam...

"antum minin?"(kamu dari negara mana), bergoyang-goyang kepala lelaki separuh umur bertanya ku.. selalunya penduduk negeri pasir akan bertanya asal negara ku disini. Mungkin perbezaan rupa wajah, besar kecik yang ketara jelas terpancar dari wajah kami membuatkan mereka ingin tahu asal-usul kami. "Malayzia? ahsan nass..miah-miah"(orang malaysia? sebaik-baik manusia.. seratus-peratus baik).. "syukran, antum bardu, miah-miah". (terima kasih, kamu juga begitu, seratus-peratus baik).. malam yang indah, semuanya baik di mata kami... semoga ianya berterusan untuk hari-hari mendatang di perlembahan Nil ini...

Indah sungguh malam ini. Terasa benar keberadaan sahabat di samping ku ketika ini. Kalau boleh di lakonkan, mahu saja aku simpan kenangan ini menjadi penawar duka ketika berseorangan nanti.. walaupun lakonan itu sekadar wayang yang menipu kuasa realiti, tapi sekurang-kurangnya dapat juga memancarkan senyuman ketika berduka keseorangan nanti. Waktu semuanya akan berpisah setelah tamat pengajian di negeri pasir ini…

aku akan rindukan malam gaya ini…. Sungguh, aku akan ingati nya…..

Isnin, 9 Jun 2008

Kembali bernafas dengan mudah

Hari-hari yang berlalu sepanjang fatrah imtihan(musim peperiksaan) cukup memenatkan dan melemaskan. Sangat terasa waktunya begitu panjang dan perlahan untuk dirintis dan dihabiskan. Kalaulah waktu sebegitu di terjemah di kala ingin merehatkan otak, alangkah singkatnya waktu. Hakikatnya waktu sekarang, masa-masa untuk berdamping dengan kitab kuliah dan muzakirah-muzakirah kuliah(nota-nota) telah berlalu di belakang.. Alhamdulillah…. Selesai masa melanyak diri..

Bila di ingat kembali suasana imtihan fasal thani ini(penggal ke-dua), rasanya amat berbeza sekali kehidupan jalan yang berliku ku. Dahulunya tidak malas sebegini, tidak panas sebegini, tidak santai sebegini, tidak ke sana dan ke sini. Dahulunya semuanya ke arah positif dan sejuk. Dan realitinya dari sudut musim, bezanya cuma fatrah ini semua mahasiswa dan seluruh rakyat negeri pasir berhadapan dengan cuaca panas yang membakar. Setiap udara yang di sedut jelas terasa akan bahangnya laju menerosok ke dalam kerongkong ku. Ianya jelas membakar anak tekak ku. Dan ketika itu, yang terbayang di fikiran hanyalah segelas asob(jus tebu) ataupun segelas tamar hind(jus asam jawa) yang menjadi jentera penyelamat kegelisahan kerongkong dan kemerahan anak tekak. Jauh sungguh perbezaannya dikala fatrah ula, musim sejuknya mencucuk jauh sehingga ke tulang sumsum...

Di hari peperiksaan(waktu memuntahkan apa yang di hafal ketika malam sebelumnya), seperti kebiasaanya setiap kali tiba waktu mempersembahkan kebolehan berhadapan dengan segala soalan yang bakal dibentangkan oleh doktor di dalam kertas soalan nanti, iaitu pada jam sepuluh pagi waktu mesir dan jam empat petang waktu malaysia, aku lah antara orang yang paling sibuk dengan nota-nota yang baru di buat malam tadi. Waktu inilah semuanya perlu di hadamkan supaya lumat di dalam kotak otak. Baru terasa ruginya waktu kelmarin tidak menghafal takrif sekularisme dari segi bahasa, baru terasa ruginya tidak bertanya kepada sahabat yang lebih arif tentang wasilah-wasilah(cara-cara) yang di gunakan oleh Sayyidina Muhammad (s.a.w.) dalam menyampaikan hadis kepada sahabatnya, barulah terasa yang waktu itu sangat-sangat singkat dan berharga.

Terbayang satu-persatu kata guru-guru yang pernah mengajar suatu ketika dahulu,”masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kamu”. Selain itu, tazkirah(peringatan) yang selalu terbayang ketika ini ialah, “demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka itu berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran”(maksud ayat Al-Quran 103:1-3)….. mudah-mudahan Allah jadikan aku termasuk dalam golongan orang-orang yang beroleh keuntungan(menghargai waktunya)…amin…

Secara realitinya fatrah imtihan kali ini berlaku dalam jangka masa sebulan penuh. Mula awal bulan mei, dan berakhirnya di awal bulan jun. Waktu pertukaran musim negeri pasir, dari musim sejuk yang mencucuk, kepada musim panas yang membakar. Kala ini segala baju tebal yang menjadi pelindung di musim sejuk dibiar tersimpan kemas didalam almari baju... Waktu kini sudah berubah, jam sudah di anjakkan cepat satu jam dari waktu asalnya. Entah mengapa jangan ditanya, malas untuk aku memberikan jawapannya.. biar jawapannya muncul sendiri ibarat menunggu miracle(keajaiban) seperti dalam kisah dongeng kanak-kanak. Seperti kisah puteri beradu yang menuggu putera ajaibnya datang melepaskannya dari sumpahan nenek sihir….pasti semuanya ma’ruf(telah mengetahui) akan cerita ini…tunggulah miracle(keajaiban) mu….

Mudah-mudahan dengan berakhirnya fatrah imtihan di musim panas ini, aku dapat mempelajari kehidupan di negeri pasir ini dengan lebih mendalam dan teliti. Harapannya, semoga segala usaha, doa, kegigihan, keberanian, ketelitian dalam menghadapi suasana peperiksaan yang berbeza ini akan diterima oleh Allah sebagai satu bentuk ibadah yang akan membuatkan Nya redho kepada ku di dunia dan akhirat… dan juga kepada Mu ya Tuhan, aku ingin meminta kasih sayang Mu untuk Kau berikan daku dan semua rakan-rakan ku kejayaan yang cemerlang dalam imtihan yang telah kami tempuhi, tidak kira di mana sekali pun kami berada. Samada di negeri pasir atau di negeri sendiri. Pandanglah pada doa ku Ya Allah…makbulkan lah ia….

…… fa iza a’zamta, fa tawakkal a’la Allah ……