"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Selasa, 28 Oktober 2008

Bersegeralah wahai tubuh kaku



Perjalan ini sangat memenatkan. Bermula dengan satu langkah yang perlahan untuk sampai ke tempat itu. Di awalnya seperti teragak-agak dengan keputusan yang telah di pilih. Sepertinya ingin kembali semula ke belakang bersama temasya dunia yang sedang rancak dan menggila. Rasa yang terdetik di hujung lubuk hati mengejutkan ku dari terus merasa nikmat candu dunia yang gelap itu. Hati ini bersuara keras mengatakan dunia itu tidak akan menyelamatkan ku. Dunia itu akan menjadi penyebab kulit ini akan di panggang hangus terus menerus. Bukan sahaja kulit ini, semua yang ada juga pasti akan hancur berkecai menjadi debu hitam yang busuk. Sebusuk dosa yang pernah di lakukan di dunia itu.


Hati ini cukup sukar untuk membuat pilihan. Antara cahaya kebahagiaan di alam abadi atau dunia sementara yang mendodoikan ini. Ada satu bisikan. Ahh.. dunia ini sangat mendamaikan. Bodoh lah aku jika membiarkan ianya percuma berlalu begitu sahaja. Sedarlah!, manusia itu bukan di biarkan percuma. "patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan di biarkan percuma"(dengan tidak di berikan tanggungjawab dan tidak di hidupkan menerima balasan)(maksud ayat Al-Quran 75:36). Semuanya yang di lakukan kala ini dan sebelumnya akan di kira kemudian hari. Waktu tayangan perdana alam akhirat. Segalanya akan di pertanggungjawabkan. "Dan barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, niscaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah, niscaya dia akan melihat (balasannya)". (Maksud ayat Al-Quran 99:7,8)


Aku perlu segera berlari mendapatkan cahaya di hujung jalan itu. Sepertinya aku berada di dalam sebuah terowong masa untuk sampai ke penghujungnya. Menggapai CAHAYA syurga abadi. Semuanya telah mengingatkan ku, semuanya telah menyedarkan ku. Hatta, teman-teman juga sering memberi dan menggalakkan ku supaya terus dengan perjalanan ini. Perjalanan menuju cahaya kebenaran. Dan sekarang keputusan antara cahaya dan kegelapan semuanya terletak atas pundak bahu sendiri. Lurah noda ini perlu segera aku tinggalkan. Masa untuk menyedut udara dunia semakin terhad. Entah esok, lusa, sebentar lagi waktu perpisahan akan menjemput ku. Yang pastinya waktu itu akan menjemput semua manusia. Pasti!!. Aku perlu segera keluar dari lubang hitam itu. segera!!

Setapak langkah kaki ini menuju kepada Mu ya Rabb, sejuta langkah Kau berlari mendapatkan ku... Terima kasih Tuhan...

Jumaat, 17 Oktober 2008

Maafkan lah

Masa-masa yang berlalu sangat mendebarkan dan mencemaskan. Meninggalkan kesan tapak kaki semalam di hadapan pintu rumah kebahagiaan. Dan sekarang aku memerhati susuk tubuh itu di hadapan cermin sakti untuk mencari siapakah itu manusia. Manusia itu sangat lemah. Manusia itu sangat tidak mengetahui. Manusia itu tidak tahu bersyukur. Manusia itu tidak tahu menghargai. Walhal, hampir berulang kali manusia itu menyuruh manusia sekelilingnya mensyukuri nikmat yang bergolek di hadapannya. Sekarang dan di ketika ini manusia itu lupa akan suruhannya untuk mensyukuri dan menghargai. Manusia itu topeng yang berkata-kata sahaja. Itu aku.

Aku terus-menerus berjalan di atas batas waktu yang menjenguk wajahnya ke muka ku. Mulanya rasa diri ini sama seperti manusia biasa. Manusia hamba yang sepatutnya merendah diri terhadap Penciptanya. Manusia hamba yang sepatutnya menyerahkan segala ketentuan yang di beri kepadanya dengan rela dan terbuka. Dan juga seorang yang sepatutnya merasa bersyukur atas pemberian cahaya yang semakin terang menerangi jiwa dan perasaan sebagai seorang manusia dan lelaki. Kini, rasa syukur itu mula menjauh semakin kabur. Aku mula menjadi awan hitam yang berarak membawa hujan sehingga sampai ke puncak tirus gunung untuk menjadi curahan air mata kesedihan orang lain.

Aku sangat bersalah atas rasa kepercayaan ku pada orang lain. Mungkin sebab diri sedang memiliki dan di miliki. Dengan rasa ego dan berkuasa merasa berhak untuk semuanya. Aku langsung tidak pernah pedulikan hal orang lain. Aku diktator!! Jiwa semakin rapuh dalam menerima sesuatu yang menjadi ujian dalam hidup. Jiwa semakin tumpul dalam membuat keputusan. Aku harapkan bahagia dalam hidup tanpa memperdulikan rasa kebahagiaan itu melayan ku bagaimana. Aku sendirian bersuara keras dalam hati. Maksud bahagia yang aku terjemahkan dalam hidup sangat memaksa ku dalam memiliki. Maafkan aku.

Bila-bila sahaja batang tubuh ini akan patah dan hancur menjadi debu. Sebati dengan tanah pasir negeri ini. Melarut dengan hak angan-angan yang aku khayalkan. Semua orang sangat menyedihkan ku. Hakikatnya, percayalah diri ini yang paling menyedihkan. Aku manusia kotor yang di lamun khayalan rasa nikmat akan diri sendiri tanpa memikirkan orang lain. Bersyukur lah tubuh kaku. Percayalah pada ketetapan yang Maha Esa. Dia mengatur segala kejadian di dunia, di langit, dan semuanya. Hatta, Dia juga yang mengatur lontaran rasa kasih dan cinta dalam jiwa tiap-tiap hambaNya. Bersyukur dan yakinlah wahai tubuh kaku. Alhamdulillah(syukur pada Mu Tuhan).

Allah aku datang kepada Mu selepas aku di kejutkan oleh manusia tentang kepura-puraan ku. Allah aku lemah dalam membuat keputusan yang datang menerpa ku. Taufan kehidupan ini sangat menguji ku ya Allah. Aku tidak ada tempat berlindung dan mengadu selain kepada Mu. Sangat-sangat memerlukan dakapan kasih sayang dari Mu untuk mencari diri sendiri. Aku pohonkan keampunan dari Mu atas rasa mazmumah yang timbul dari dalam jiwa ku pada orang-orang di sekeliling ku. Astaghfirullah(ampunkan daku ya Allah). Aku sesat dalam ribut kuasa memiliki jiwa manusia. Aku biarkan manusia cedera parah dan terus-menerus menyakiti dirinya sendiri dengan kesakitan yang aku sendiri tidak dapat capai dan rasakan. Maafkan aku buat ke-sejuta kalinya..

Maafkan aku kerana menghiris perasaan dan hati kamu. Aku manusia biasa yang sering melakukan kesalahan dan kesilapan dalam menilai seseorang. Aku mungkin orang luar dari kehidupan mu. Tidak layak untuk di beritahu dan mengerti. Saat kamu menangis kecewa dan sedih dengan nasib dan diri sendiri aku hanya mampu melihat dari teropong masa khayalan ku. tangan ini tidak sampai untuk membelai mu. Diri ini tidak mampu memujuk mu supaya tenang dengan ujian itu. Nyanyian ku juga tidak sampai ke telinga mu untuk kamu hayati sebagai dodoian waktu sedih mu. Tapi, ingatlah bahawasanya aku ini orang luar yang akan setiap masa mengetuk pintu rumah mu dan menunggu mu keluar untuk membawa ku menikmati waktu sedih mu di dalam sana. Ya.. dalam rumah bahagia. Rumah bahagia yang aku idam-idamkan..

Aku berdoa atas kebahagiaan itu. Menyerahkan segalanya kepada Pencipta segala sesuatu.. Bantulah kami ya Rabb.. “Hasbunallah wa ni'mal wakil” “cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik Pengurus(yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”(maksud ayat al-Quran 03:173).

Rabu, 15 Oktober 2008

Ikhlas



Aku berjalan di atas hamparan merah duniawi. Berhenti dan singgah di hentian noda. Bergelut dan terus-menerus meniti titian usang kefardhuan harian sebagai seorang hamba dan makhluk. Jatuh, dan menderita. Bingkas bangun dan lari terus ke sini. Di sini mula mencari rumah ikhlas untuk menumpang berteduh. Ya.. Rumah IKHLAS yang ku cari...

"Sesungguhnya manusia takkan bisa menikmati SYURGA tanpa ikhlas di hatinya, sesungguhnya manusia takkan bisa menyentuh nikmatNya tanpa tulus di hatinya" -Ikhlas, oleh Ungu.

Selasa, 7 Oktober 2008

Cahaya atas cahaya


Malam itu semuanya seperti biasa. Angin negeri pasir bertiup sayu mendodoikan jiwa-jiwa manusia yang di biar terbang berputar membelah ke setiap pelusuk alam maya untuk merasa desiran syahdu suasana malam. Dan memang fitrahnya malam itu sangat mendamaikan dan hangat. Waktu yang tercipta untuk manusia merasakan nikmat kehidupan sesama manusia. Waktu di mana manusia merebut dan membalas rasa cintanya terhadap Sang Pencipta yang Maha Kuasa. Waktu melepaskan segala beban kerja di siang hari. Waktu untuk bersyukur. Syukur alhamdulillah. Terima kasih Tuhan.

Saat itu rasanya roda hidup berputar terlalu lambat. Malam bagi ku masih tidak seperti mereka di atas sana. Merelakan dan membiarkan rasa bosan dengan hidup sebelum ini yang sentiasa mengejek ku dengan gerakan lambat yang minima. Enjin kehidupan ini perlu di baiki serba rapi. Motor yang di tunggang untuk mencapai redha Ilahi ini harus di perbaharui. Mesti mengikut suasana dan tamadun duniawi. Dan sudah semestinya kehidupan Islam itu sendiri bersesuaian dan kenyal untuk setiap masa, keadaan, tamadun dan apa sahaja. Campaklah jiwa ini kemana sahaja. Pasti Islam itu akan subur dan mekar bersama janji-janjinya. Moga Tuhan berikan kekuatan untuk itu. Aminn….

Aku mencium wangian ketenangan syurga firdausi melalui keterangan-keterangan dari langit. Juga melihat karangan karya Ulama’ terkenal Dr. Sayyid Sabiq dalam kitabnya Akidah Islamiyyah. Mata di buka seluas-luasnya. Menjamah satu-persatu bait-bait indah dan hujah-hujah konkrit itu semua menenangkan ku dari rasa bersalah atas gerakan minima di siang hari tadi. Sekarang motor kehidupan ini sedang bergerak mencari cahaya. Malam ini menjadi saksi untuk sedutan nafas kehidupan yang di amalkan ini. Seperti sebuah metafora yang di tunjukkan Pencipta segalanya dalam kalamNya ini. Baca dan teliti. subhanallah..(Maha suci Allah)..

"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah(1) (kitab suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykat”(2)yang berisi sebuah lampu ; lampu itu dalam gelok kaca (qandil), gelok kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang ; lampu itu di nyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja di sinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari) ; hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun tidak di sentuh api ; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda) cahaya berlapis cahaya(3). Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya(menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu ; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia ; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".(Maksud ayat Al-Quran 24:35).

Allah Maha Agung. Aku merindukan cahaya itu datang menerangi ku. Cahaya yang dapat menyelamatkan ku dari lubang gelap yang merantai kaki kisah hidup ku selama ini. Biarkan diri ini basah dengan limpahan cahaya itu selama-lamanya. Biar tangan kita saling berpaut semuanya untuk merasa desingan syahdu sinaran cahaya atas cahaya itu. Ayuh berlari bersama-sama ke arah cahaya itu. Sampaikan kami kepada Mu ya Tuhan.. harapan dengan rendah dirinya aku memohon supaya Kau berikan taufik dan hidayah Mu kepada ku dan orang-orang yang aku sayangi. Juga dengan rendah dirinya aku memohon Kau berikan keberkatan atas segala usaha-usaha kami untuk mendakap petunjuk cahaya Mu buat selama-lamanya. Perkenankan lah Ya Rabb....

----------------------------------------------------------------------------------------
NotaKaki :-
1. Allah Taala memberi hidayah petunjuk kepada penduduk langit dan bumi dengan dalil-dalil dan bukti yang terdapat dalam alam yang terbentang luas dan dengan ayat-ayat keterangan yang di turunkan kepada Rasul-rasulNya.
2. lubang yang tidak tembus yang diadakan di tembok(dinding rumah) sebagai tempat meletakkan lampu supaya pancaran cahayanya kuat dan tidak berselerak
3. Bandingan cahaya petunjuk Allah menyinari hati orang-orang yang beriman adalah ibarat sebuah lampu yang terang benderang yang terletak dalam tempat kurungannya. Bertambah pula lampu itu dalam sebuah qandil (gelok kaca), dan kerana jernihnya kaca yang tersebut menjadikan cahaya lampu itu gemerlapan laksana bintang di langit yang bersinar cemerlang. Lebih-lebih lagi minyak lampu itu dari pokok yang banyak manfaatnya iaitu pokok zaitun yang tumbuh dalam daerah yang sentiasa mendapat sinaran matahari, yang menyebabkan minyaknya jernih bersinar-sinar. Semuanya itu menjadikan cahaya lampu itu berganda-ganda.