"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Ahad, 28 September 2008

Harapan Lebaran


Aku jatuhkan pandangan ke langit malam. Suasananya kelam ketika itu. Taburan bintang kecil begitu menenangkan. Mungkin boleh di kira butirannya ketika itu. Suara imam yang meneruskan witir sayup di belakang telah aku tinggalkan. Di sini suasananya jelas sekali berbeza dengan tanah air ku. Jarang sekali dapat menunaikan solat trawih 20 rakaat seperti di Malaysia. Di sini kebanyakan masjidnya hanya melakukan 8 rakaat solat trawih dan 3 rakaat solat witir dengan 2 salam. Semuanya 11 rakaat. Cuma masjid Azhar as-Syarif di kaherah sahaja yang melakukan solat trawih 20 rakaat. Itu pun aku tidak berkesempatan lagi untuk melakukannya di sana. Aku hanya di nombor LAPAN.

Pulang ke rumah terus menyatu bersama suasana sunyi malam. Pergerakan terasa lambat. Tangan terasa hilang daya dan upayanya untuk melakukan apa-apa. Biarkan tubuh badan sebati dengan kepanasan selimut tebal musim sejuk. Walaupun hakikatnya musim masih di tahap panas dan merimaskan. Menghempas lelah kehidupan seharian yang membosankan dengan gerak tubuh yang minima. Aku putar-putarkan saluran fikiran ku saat itu satu-persatu. Satu, suara emak sudah lama tidak aku dengari. Dua, buku-buku falsafah hidup hampir berhabuk dan rosak di makan tikus. Tiga, bayang rupa tanah air semakin kabur dari pandangan. Seratus, hati sangat tidak enak dengan luahannya sendiri yang mencela sikap orang lain. Aku juga seperti mereka. Kalau aku benci dengan perbuatan mereka yang tidak sesuai dengan ku. Aku juga tidak sesuai dengan mereka. Sebab aku memBENCI. Tepat semula ke kepala sendiri.

Rebah di atas tilam usang yang berbonjol-bonjol kapas kekabunya. Pandangan di tujukan ke atas memandang ruang syiling bilik. Gelap, hitam dan menakutkan. Aku cuba selak helaian rutin harian ku sejak kebelakangan ini. Aku sudah terlalu jauh dari rumah. Aku tinggalkan penghuninya tanpa kata. Tanpa harapan mendoakan ku di sini, tanpa nasihat keramat yang bakal membangunkan jiwa ku, tanpa khabar kedua ibu-bapa yang tercinta di sana. Aku langgankan masa dan jiwa ku pada gerakan minima kehidupan seharian yang terlalu lambat. Hanya itu!!. Waktu-waktu begini pastinya emak sangat sibuk menyediakan segala macam jenis kuih untuk sambutan hari lebaran. Dan untuk tahun ini sudah masuk kali yang kedua aku beraya di negeri pasir. Perayaan yang tidak di sambut oleh ahli negerinya. Perayaan yang di sambut dengan takbir raya yang bernada rata tidak beralun. Sangat berbeza.

Dahulu di tanah air, saat terjaga dari lena di malam raya rasanya seperti bangun sebagai seorang yang baru. Rasanya ketika itu jiwa berkobar sangat bersemangat. Mana tidaknya, hari itu semuanya akan bertukar baru. Emak dan kakak akan mempersiapkan seluruh isi rumah dengan perkakas yang baru di tukar. Bukan baru di beli. Hanya di tukar. Rasanya seperti seorang yang baru di lahirkan semula. Paginya akan bersalam-salaman dengan semuanya. Bermaaf-maafan. Aku banyak sangat dosa dengan semuanya. Aku bukan anak yang baik, bukan juga adik yang baik, dan bukan juga abang yang baik. Aku terlalu mementingkan diri sendiri dan bersikap melulu dalam membuat keputusan. Maafkan aku di sini. Aku sekarang di sini berseorangan. Mengenang saat bahagia sewaktu bersama keluarga dahulu dengan membawa bayang ku pulang ke rumah. Dan sedarlah, hakikatnya jasad ini masih lagi di atas katil usang itu. Juga masih di bilik gelap itu sambil tidak sudah memandang dinding syiling atas itu. Semuanya kosong dan gelap. Seperti kebiasaanya.

Saat ini rasanya kaki ini ingin melangkah panjang terus ke rumah meminta ampun dan maaf pada ayah-ibu dan semuanya. Maafkan anakanda mu ini kerana sukar menjadi seorang anak yang soleh seperti yang di kehendaki mu. Juga, aku sangat rindukan pada teman-teman yang tidak pernah putus asa dengan karenah ku selama ini. Ampun dan maaf daku pinta dari mula perkenalan sehinggalah ke saat ini. Walaupun kau bertahan hanya sesaat Cuma. Perkenalan itu mengembirakan waktu-waktu sepi ku. Kepada hati aku bisikkan perlahan kepada gadis kecil yang tabah supaya dapat terus bertahan dengan rahsia ini. Rahsia yang tidak pernah aku persembahkan sebelum ini. Rahsia yang sangat menghiris perasaan ku sendiri. Maafkan aku atas rahsia itu. Semoga kamu baik-baik sahaja walau di mana sekalipun berada. Dan kepada semuanya, sekali lagi aku pohonkan keampunan di atas salah laku ku yang telah mengguris hati kalian. Lebaran ini mengingatkan ku supaya lari dari kehidapan yang bergelumang dengan gerakan minima seharian. Manfaatkan lebaran dengan Istighfar dan saling bermaafan.

Lupakan kisah duka silam yang terus-menerus menghentam kesalahan lalu mu itu. Kerana semua orang pasti melakukan kesilapan. Tidak sekarang, selepas ini atau seterusnya. Jangan lupa tempat bergantung hanyalah semata-mata kepada Tuhan. Pencipta segala sesuatu. Pintalah apa sahaja padanya. InsyaAllah akan di makbulkan. Yakinlah dengan iman itu. “Dan Tuhan kamu berfirman: “berdoalah kamu kepada Ku, nescaya Aku akan perkenankan doa permohonan kamu”(maksud ayat al-quran 40:60).

Selasa, 23 September 2008

Kota yang di lupakan

Kota seribu menara aku tinggalkan di belakang. Kota itu tidak lagi menghidupkan hari-hari ku. Aku seperti patung boneka yang di gerakkan untuk menghiburkan jiwa umat yang ketandusan kasih sayang. Aku sendiri parah dengan kerja itu. Sangat tenat dengan situasi diri sendiri ketika kaki memulakan langkah menuju kawasan lapang sahara. Kota yang membangun dengan tamadun Islam Timur tengah itu tidak lagi menghidupkan jiwa ahlinya. Mereka lupakan kisah sejarah tamadun kota itu. Mereka lupakan perjuangan Khalifah Agung Salahuddin Al-Ayyubi mempertahankan kedaulatan Daulah Islamiyah di sini. Mereka lupakan dakwah Imam Hassan al-Banna dalam membentuk peribadi ikhwannya. Mereka sangat terkesan dengan penjajahan Perancis dan British suatu masa dahulu. Mereka dan semuanya telah lupa semua itu.


Angin panas sahara menyedarkan ku dari lamunan yang panjang. Aku sekarang berada di kawasan lapang berbukit pasir yang sunyi. Cuaca yang sangat memasak seluruh tubuh kurus ku. Mengembara berjalan sendirian untuk mencari jalan pulang. Aku seperti mengejar bayang hitam susuk tubuh sendiri. Bila matahari semakin menjauh, bayang itu akan semakin memanjang dan pudar sedikit demi sedikit. Dengan tubuh longlai terus menerus sesat di kawasan lapang sahara. Mencari titik awal kaki mencecah bumi pasir ini. Mencari pintu mana yang telah aku gunakan sehingga sampai tersesat di daerah sahara ini. Sebidang tanah gersang yang sunyi dan sepi. Aku seorang diri mencari diri. Bersama suara hati yang memujuk-rayu menyuruh ku kembali semula ke kandang kota seribu menara yang telah aku tinggalkan di belakang.


Entah aku sendiri tidak pasti. Mengapa dalam mimpi ini aku tinggalkan kota itu. Mengapa perlu memilih untuk berada di gurun sahara keseorangan dari menghirup manisan dunia yang berterbangan di kota itu ?. Jika di tinjau kembali sejenak, kota ini memang menjadi kebanggaan ahli-ahlinya. Dengan alirannya sebagai raja segala sungai duniawi yang melawan arus, sehingga pernah ada yang menyebut bahawasanya aliran Nil tidak berpenghujung dan berpunca. Ianyan alir suci dari syurga. Itu semua mungkin mitos ahli negeri pasir yang taksub pada kota ini. Pandanglah kejadian itu semua dengan memikirkan keagungan Sang Penciptanya. Subhanallah..(Maha suci Allah). Pasti di sana ada ketenangan yang tidak di ketahui dari mana datangnya rasa itu. Ketenangan. "ketahuilah!! dengan Zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia" (maksud ayat al-Quran 13:28).


Jeritan kosong rajawali sayup di atas kepala. Berlegar-legar mencari mana-mana bangkai atau mangsa yang mungkin akan rebah untuk menjadi santapannya nanti. Dia mengejek ku. Sepertinya aku seekor tikus padang pasir yang sesat dari induk dan habitatnya. Tiada jaminan keselamatan atau insurans nyawa dari masyarakatnya. Hanya menunggu saat cengkaman rajawali untuk terbang tinggi lalu di hempaskan ke tanah kembali menjadi bangkai yang tidak bernyawa. Tiada lagi derita lautan sahara. Terkadang angin pusar sahara bertiup lemah di sini. Terbang bersama dengannya debu dan pasir halus yang panas merempuh apa sahaja di hadapannya. Tubuh ini juga menerimanya. Debu dan pasir itu mengotori pakaian ku, mengaburi mata ku, menyesakkan pernafasan ku, dan membunuh ku perlahan-lahan dengan racun suasana sepi, kabur, tiada upaya dan putus harapan pada kehidupan gurun sahara. Dan terkadang juga rasa semua itu melegakan ku. Angin pusar yang lemah itu seakan-akan menyanyi mendodoikan ku supaya terlena dari dunia panas sahara ini. Lagu itu meluputkan ingatan ku pada kota yang hilang cahayanya di belakang ku.


Isnin, 8 September 2008

Mendengar Suara Hati

Ada satu cerita. Manusia yang punya krisis dengan peribadi sendiri. Dalam diri ada dia, dia, dia, dan dia. Semuanya dia. Tetapi, oleh sebab cerita ini berkisar tentang krisis dengan peribadi tadi, semua tentang dia itu menjadi munasabah dan rasional untuk menjadi satu permasalahan atau konflik. Segala-galanya seperti berpusing-berpusing tidak teratur. Bila sahaja tersedar dari mati yang singkat dia menanti tersenyum dengan soalan-soalan bingung untuk rencana hari itu. Senyumnya seolah-olah mengejek. Memaki hamun dalam diri sendiri. Seusai menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba kepada Penciptanya, dia yang lain muncul di depan mata bersama misi dan visi kehidupan sempurna. Lemah-lembut memujuk supaya mengikutnya bersetuju dengan segala yang di tetapkan. Lunak suara menggoda.


Manusia yang lemah dalam membuat keputusan hidup. Kerap kali tersasar dalam memberikan jawapan terhadap sesuatu. Rasanya selepas ini perlu di biarkan sahaja soalan-soalan atau permasalahan yang datang menerpa. Biarkan dia, dia, dia, dan dia tadi kecewa dengan tindak-tanduk ini. mungkin ini jalan keluarnya. Keluar dari kongkongan kumpulan dia itu tadi. Ataupun, ini mungkin salah satu keputusan yang di ambil dari dia yang lain. Tanpa sedar menggunakan dia juga untuk membuat keputusan. Dan keputusannya kali ini, akan berdiam diri tidak akan bersuara terhadap soalan-soalan yang datang menjerat. Mungkin ini satu fitrah bahawasanya dalam kehidupan itu semestinya akan ada 'sesuatu' yang akan menjadi pendorong atau pengendur dalam membuat penilikan tentang HIDUP.


Malam pekat yang panas. Sunyi, sepi dan sendiri. Deruan kipas yang berpusing lemah di sebelah begitu mendamaikan. Aku bukan keseorangan. Suara alam itu menghiburkan. Berhibur dengan suara alam dan pembacaan yang panjang. Tamat untuk sebuah pengembaraan. kisah yang memberitahu tentang eloknya kasih sayang antara manusia dan Penciptanya, antara manusia dan manusia dan antara manusia dan alam. Ya, selepas ini aku akan berkhayal. Memang aku harapkan khayalan itu dapat mendodoikan waktu gelisah ku dengan perihal dunia realiti yang sebenar. Dunia yang saban hari membunuh jiwa-jiwa kemanusiaan yang ada pada manusia. Yang pada hari ini dengan kepala dan batang tubuh yang sempurna manusia di asak-asak untuk menjadi tin kosong. Manusia sekadar batang tubuh yang bergerak-gerak. Siapa dan apa yang mengawalnya terpulang mengikut pada keadaan sesuatu tempat, masa dan keadaan. Manusia sekarang sangat-sangat Sakit. Begitu juga dengan aku!!


Sekali lagi aku tersedar dari kesakitan itu. Kisah panjang yang menggetarkan ku menyelamatkan manusia ini. "dunia kita di muka bumi ini hanyalah satu persinggahan, kita cume menunggu berteduh, cukup sahaja bekalan dan tiba pada masanya, kita juga akan berangkat seperti yang lain-lain". Bait kata-kata yang menawarkan kesakitan. Sangat puas setelah selesai menghabiskan pembacaan ini. dan kali ini, kisahnya sangat menyelamatkan. Dan ianya juga menghidupkan semula hati dan perasaan yang mati sebelum ini. Syukur kepada Allah yang memberi limpah dan kurnia kepada ku untuk merasa nikmat ilmu. Walupun pada hakikatnya segala ilmu yang di temui di dunia ini adalah setitik darpada selautan luas ilmunya Allah Taala.


Alhamdulillah… Syukur kepada Mu Ya Rabb. Noktah.


Lafaz itu memang tidak pernah dapat di ucapkan. Selepas bermulanya kehidupan baru yang telah lama bermula dahulu. Satu lafaz pun tidak pernah di ungkapkan kepadanya. Terima kasih tidak, rindu tidak, kesian tidak, sedih tidak, gembira tidak dan semuanya tidak!!. Suara ini tersimpan dalam di hujung dinding hati. Tersekat di pintu saluran pernafasan. Ianya langsung tidak pernah melintasi batas anak tekak, apatah lagi meluncur sehingga ke pintu bibir. Suara keluar dari mulut. Dan suara kesemuanya itu bersama terima kasih ini aku simpulkan bersama nyanyian syahdu memujuk kamu supaya tidak lagi bersedih dengan hidup. Kerana kamu yang memberi penawar kesakitan ku dengan kisah itu. Kerana kamu yang memberi semangat kepada ku untuk tidak berputus asa di dalam konflik, seperti yang di ceritakan dalam kisah panjang itu. TERIMA KASIH kamu.(aku rindukan gadis kecil yang tabah)

Selasa, 2 September 2008

Ramadhan Karim


Marhaban ya ramadhan…. Bulan yang penuh berkah, bulan istimewa yang di khususkan untuk semua umat Islam. Di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, dan di akhirnya pembebasan dari api neraka. Meneguk kasih Ilahi pada fatrah puasa kali ini, situasinya berbeza. Di sini ahli negerinya begitu menunggu kedatangan Ramadhan. Ibarat menyambut keraiaan pesta tahunan. Jikalau sebelum ini kehidupan di sini seperti biasa, hambar tidak meriah. Dengan kedatangan ramadhan kali ini segalanya bertukar wajah…

Ramadhan datang dengan suruhannya : " wahai orang-orang yang beriman! Di wajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana di wajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa . " (maksud ayat al-Quran 02:183).

Harapan yang menggunung untuk Ramadhan kali ini, moga ianya menjadi wadah tarbiyah yang berkesan pada diri yang masih tenggelam punca dalam mengerti maksud sebenar seorang hamba. Hamba kepada Pencipta. Ruang mengadu dan kerinduan sedang terbuka seluas-luasnya untuk hamba yang benar-benar dahagakan kasih sayang dan keampunan dari Yang maha Pengampun. Igatlah, Dia sesungguhnya maha Pengasih dan Maha pengampun. "sesungguhnya, Allah Maha Pengampun Dan Penyayang".(maksud ayat Al-quran 02:182).

Madrasah Ramadhan ini bakal memimpin hati-hati yang lemah serta kehausan akibat terik panahan sinar maksiat dan penyakit hati. Bagi orang yang tahu menghargainya, mereka menganggap Ramadhan kali ini adalah yang TERAKHIR. Ramadhan kali ini di atas lahad mereka yang sedang nganga luas terbuka. Menanti waktu untuk di kambuskan tanah ke atas jasad mereka. Menutup ruang bersemuka kembali bersama ramadhan . ianya terhenti selepas kambusan tanah yang terakhir ini. Manusia kembali bersatu bersama tanah asal-usulnya.

Rebutlah madrasah dan tarbiyah ini seperti ianya terakhir untuk di hargai……