"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Ahad, 29 Mac 2009

Tenang dalam Komplikasi


Saat hidup terasa penuh dan sempit dengan segalanya, dan saat mata di sekat dengan tembok dinding batu yang mengganggu penglihatan menuju ruang angkasa dunia, juga saat udara sekeliling menjadi sejuk biru menyatu bersama debu kota seribu menara. Diri sendiri di dalamnya terasa begitu kosong dan tidak bersuara sepatah kata. Mengintai peluang mengingati mu dalam setiap sedutan nafas kehidupan ku adalah suatu anugerah yang amat berharga dalam hidup ku ketika itu..

Manusia kalau di imbas kembali kepada lumrah kehidupannya, pasti ada satu waktu dan ketika mereka rasakan pada diri masing-masing sangat “lost” dengan diri sendiri dan hilang keperkasaannya serta-merta. Perasaan itu sering menyerang ku semenjak dua ini. Mungkin kerana beban peperiksaan yang semakin hampir menjengah semua mahasiswa di negeri pasir. Bahang yang sama itu juga menghimpit dan melemaskan ku berkali-kali. Dan bermulanya entiti “lost” itu tadi menguasai diri sendiri, lalu membawa bersamanya jasad kosong ke tanah Damanhur dan kota lama Qahirah negeri pasir..

Minggu-minggu yang datang bertamu di ruang hidup ini menyedarkan ku akan bait kata-kata seorang pemikir agung tentang goncangan hidup dunia realiti. Katanya “ketenangan dan kebahagiaan itu adalah hembusan dari langit, di turunkan ke lubuk hati orang beriman, dan mereka tetap berhati teguh di kala orang lain dalam kegoncangan”. Sangat menusuk ke dalam lubuk hitam jiwa. Terasa diri sendiri begitu jauh dengan perumpamaan yang di lakarkan..

"tetap berhati teguh di kala orang lain dalam kegoncangan" (kenyataan kontra untuk mentafsir diri sendiri)

Kamu di dunia sana pasti ingin melihat orang-orang kesayangan mu berdiri teguh dengan cerita hidup mu. Kamu pasti inginkan mereka mendukung mu sedaya mampu. Ketahuilah, diri ini akan sentiasa berdiri teguh dengan setiap jalan cerita hidup mu itu. Aku memang tidak mampu untuk mendamaikan hati mu selalu, aku juga tidak mampu untuk mengesat air jernih mata mu yang jatuh membasahi pipi mulus mu. Aku sedar aku ini manusia biasa-biasa. Wujud ku tidak menggetarkan hati sesiapa. Tempat ku hanya sebagai pemuja mu yang mengintai kisah hidup mu dari tabir alam khayalan masa ku.Cuma itu..

Untuk mu selamanya, dan itu adalah aku.. (Sedaya Upaya)

Sabtu, 28 Februari 2009

Expressi Kata

Bangun dan menghayati expressi dunia Khalil Gibran dalam mutiara kata-katanya.

"Suara kehidupanku memang tak akan mampu menjangkau telinga kehidupanmu, tapi marilah kita cuba saling bicara barangkali kita dapat mengusir kesepian dan tidak merasa jemu".

"Keindahan adalah kehidupan itu sendiri saat ia membuka tabir penutup wajahnya. Dan kalian adalah kehidupannya itu, kalianlah cadar itu. Keindahan adalah keabadian yag termangu di depan cermin. Dan kalian, adalah keabadian itu, kalianlah cermin itu".

"Aku ingin mencintaimu dengan sederhana... seperti kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu... Aku ingin mencintaimu dengan sederhana... seperti isyarat yang tak sempat dikirimkan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada".

Rabu, 18 Februari 2009

Irhamna

Ketika semua manusia semakin resah gelisah mencari arah tujuan hidup masing-masing, aku berlari mencari jalan sunyi untuk sampai ke penghujung kota seribu cahaya. Waktu itu semua yang berputar di sekelilingi ku menjadi satu. Berkomplot mengemudi ku lari dari limpahan sinar kebahagiaan dua dunia. Semakin sayup dan menjauh.

Mimpi-mimpi yang sering membawa ku ke alamnya mengubah semua cara hidup ku menjadi makhluk asing bagi orang-orang di sekeliling ku. Aku sedar semua yang wujud di dunia ini akan berubah. Dari seorang anak kepada seorang bapa. Dari seorang yang punya daya upaya untuk menyedut nektar atmosfera kepada kaku di alam tanah. Semuanya dengan izin Pencipta.

Fatrah saifi(musim panas) bakal menggantikan fatrah syitak(musim sejuk) di negeri pasir. Bila di imbas kembali, rasanya hampir setiap kali waktu penukaran musim bagi negeri pasir ini, aku pasti akan di kunjungi oleh entiti selsema dan demam. Ada yang mengatakan sistem pertahanan dalam badan ku lemah. Entah, aku kurang arif tentang semua itu. Mohon di jauhkan dari kemudaratan.

Ya Allah, daku hamba yang sangat lemah dalam menelusuri jalan kehidupan ku sendiri. Aku sering terkandas dalam lumpur kegelapan dunia pendusta ciptaan maya ku sendiri. Tali hitam yang menyimpul itu seakan semakin mecengkam ku dari terus berlari ke arah Mu. Manusia ini sangat sombong dengan dirinya sendiri. Bantulah daku ya Allah. Astaghfirullah..

Irhamna ya Allah, ya Rahman, ya Rahim..

Khamis, 5 Februari 2009

Ohh Rembulan ku


Tiada kata yang mampu terucap di bibir zahir. Lafaz rahsia dalam hati yang meronta-ronta bersusah payah menolak dan memaksanya keluar dari cengkaman kuasa hati untuk di terjemahkan dalam bentuk penulisan atau mutiara kata-kata. Minggu-minggu yang bertamu di hadapan rumah ku membawa bersamanya kamu ke sini untuk aku hayati dan rasakan sebagai terapi waktu sulit sengsara ku. Ianya menyatu dengan senyuman. Kamu dendangkan lagu kita bersama. Lagu yang seringkali kamu putarkan dalam kisah alam rahsia kita berdua.

Seringkali wajah mu terbayang di mata. Seakan terhidu dekat bau haruman bunga teratai yang sering kamu lengkapkan dalam setiap detik harian mu. Begitu jelas pergerakan mu di benua sana. Sedang tersenyum manja bersenda gurau bersama teman-teman mu. Aku melihat ke langit gelap malam ini. Bintang yang bertaburan di sana-sini menjelmakan wajah ayu mu di dunia sana. Aku sering berfikir dan merenung bait kata puitis yang mendamaikan hati sanubari ku sendiri. "sejauh mana pun kita, tetap memandang pada rembulan yang sama, jika ada terkenang-kenang, maka lihatlah ke atas sana".

Ohh rembulan!!, sangat indah mempersona, Subhanallah (Maha suci Allah).

Rasa ini aku coretkan ketika malam semakin melabuhkan cahaya gelapnya menggantikan pancaran suria pagi di puncak jabal Musa Negeri Pasir. Aku rindu pada rasa yang menghangatkan jiwa raga ku untuk terus berdiri berjalan menjadi seorang manusia biasa. Ya, manusia biasa dengan segala fitrah asal kejadian kita yang di kehendaki oleh Nya.

Jumaat, 2 Januari 2009

Watak itu aku, kamu dan manusia

Ketika itu suhu jatuh mendadak 13 darjah celcius di kota seribu menara daerah Dakhelia negeri pasir. Manusia si pejalan kaki yang masih hidup di luar rumah mu masing-masing menyedut dan menghembuskan nektar alam bersama kabus ribut udara salju syita(musim sejuk). Kamu bersama tubuh gemalai menahan lapar dalam kesejukan malam membelah udara kota Nil A’rusah mencari sesuatu yang belum di temui. Dalam benak fikiran mu. Kamu beritahu orang lain yang kamu runsing dengan dunia kamu. Di luar sana manusia sang penghuni dunia asyik mengangkat senjata merebut hak kuasa mengawal dunia. kamu seorang diri melangkah kaki longlai, lemah dan hampir pengsan dengan diri kamu sendiri.


Pernah dahulu kamu terangkan pada dunia semua yang kamu ini berhak dengan keputusan yang kamu tetapkan. Jeritan itu kamu laungkan dalam prinsip perjalanan hidup sehari-hari mu. Tapi manusia-manusia itu tidak menghiraukan kamu. Siapa kamu untuk mereka dan seisi dunia ini. Kamu serpihan kecil dari seluas alam cakerawala ini. Mereka tidak akan pernah lihat kamu dari sudut pandangan kamu melihat mereka. Mereka anggap kamu ini goblin kotor yang sentiasa menghasut dan mengecewakan orang-orang di sekeliling kamu. Rupa kamu mereka lukis seperti wajah lelaki cacat yang buta sebelah matanya seperti tayangan filem alien Amerika. Kamu manusia aneh untuk mereka semua. Kamu sampah!!..


Syita yang menjemput ku ini membawa bersamanya sebuah jalan cerita yang panjang tentang hidup kamu yang dahulu dan sekarang. Hampir separuh hidup kamu telah aku bongkarkan dalam seni origami yang aku temui di halaman diari kisah hidup mu. Kamu fikir aku ini manusia biasa seperti mereka-mereka yang kamu temui di tepi jalan dahulu. Kamu fikir dunia ini dapat memperbudakkan ku dengan topeng buruk makhluk aneh goblin mu itu. Aku sudah bersedia untuk bertemu si goblin bermata satu itu. Nah!.. biar suhu dan cuaca sejuk ini yang akan menghancurkan topeng buruk mu itu dari terus melakonkan watak utama dalam kisah hidup ku. Kamu nyatakan hujan mengiringi mu kala itu..


Manusia yang memandang dari jauh itu adalah kepunyaan mu. Dia menghubungi mu dari pandangan anak matanya. Dia berbicara dengan mu melalui hembusan angin yang tiap kali menyentuh kulit halus mulus mu. Nalurinya membara untuk membelai dan menghangatkan mu dari kesejukan air mata. Dia menyuruh mu dan semuanya tenang dengan segala situasi yang kamu tempuhi. Dahulu kamu di tempat sendiri, dekat dengan orang tua mu, mudah pergerakan mu ke sana-sini. Kali ini, kamu berseorangan semula seperti waktu sembilan bulan di alam kejadian mu. Pengalaman akan mematangkan kamu. Kesusahan dan kesedihan hari ini akan membawa mu kepada ketenangan dan berlapang dada untuk bernafas di hari esok.


Kaget. Sedar. Aku terhenti di lampiran agung kalam Pencipta. “Mereka merancang, dan Allah juga merancang, dan(ingatlah) Allah sebaik-baik perancangan”(Maksud ayat al-Quran 03:54). Biar lafaz ini sudah berjuta kali di ungkapkan dan di lontarkan. ... Ini.... Mengaku dengan rasa bersalah hampir pengsan memohon maaf kepada semua atas segala-galanya. Ini hakikat dan realitinya. Aku memang seorang manusia yang sering melakukan kesalahan dan kesilapan. Tidak sesama hamba, ianya kepada Pencipta segala hamba. Maafkan lah daku.. Astaghfirullah(aku memohon ampun dari mu Ya Rabb)..


Hujan… terus lah bawa daku bersama syita(musim sejuk)Perlembahan Nil menjadi satu…