"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Rabu, 30 November 2011

Ternyata

Ternyata kuasa minda yang berkobar-kobar selalu saja dikalahkan dengan realiti depan mata. Banyak sungguh manusia sebegitu. Ada yang kuasanya lemah, putus asa, langsung tidak bersedia. Apa yang terhasil pula indah berbunga-bunga. Sedikit demi sedikit mula menyesuaikan diri untuk suasana nyaman yang terhidang langsung depan mata. Dan seterusnya.

Kamu yakin. Kamu bersedia. Tawakal. Itu semua bukankah tanda keimanan mu. Percayalah, jika bukan manusia yang akan menerima kuasa hangat keimanan mu itu. Maka alam akan memahaminya. Fitrah semulajadi mereka gembira mendengar dan menyahut kalam-kalam yang mengagungkan Tuhan.

Aku rindu pada suasana sepi sendiri berdua-duaan denganMu. Langit terbuka luas. Suara untukMu jelas. Sehingga harapan diberi belas.

Getarlah duhai hati. Laksana mereka. "Wajilat qulubuhum".

Isnin, 7 November 2011

Korban

Banyak perkara berlalu kamu biarkan begitu saja. Cuba imbas kembali satu demi satu. Titik yang banyak itu bersambung menjadi garis tali yang tersimpul mati. Kamu mungkin terlupa untuk berhenti sedar. Keadaannya tetap sama. Klise.

Ramai juga yang sebegitu. Seperti kamu. Laungannya hebat bak guruh gempita di langit gelap. Topeng mereka watak-watak mulia. Berlumba-lumba meraih simpati dunia. Adakalanya bayang sendiri pun tidak lagi dipeduli. Korban yang tidak akan munasabah sampai bila-bila.

Singkap kembali sirah Nabi Ibrahim A.S. Nikmat yang di pinta bertahun lama, yang di rayu sehabis rasa dengan mudah di kembalikan kepada Pencipta. Rasa cintanya mengatasi dunia dan segala isinya. Bukankah korban itu terbit dari rasa cinta mereka.

Kamu jatuh cinta. Kamu merindu. Kamu tenggelam dalam dakapan kasih sayang. Ikhlas. Nescaya korban itu kerap dan paling biasa. Pastinya sebegitu!

Jumaat, 7 Oktober 2011

Terasing

Kamu pernah terlontar ke sebuah daerah asing paling sepi dari kehidupan mu. Di sana kamu sendiri. Tiada teman dan taulan. Biar dimana saja pun kamu berpijak semua makhluk di situ bukan dari kalangan mu. Hanya angin yang dapat memujuk hati mu supaya tenang dengan semua itu. Sejuk beku. Panas kering.

Manusia bukankah sememangnya begitu. Mereka berjalan seiringan bersama-sama. Mereka ketawa suka. Menangis duka meminjamkan bahu antara mereka. Lagi hebat mengadu domba saling memujuk luahkan rasa. Laksana cinta sejati bersumpah tidak akan pergi sampai mati. Nah, sampai begitu sekali keberadaan mereka bersama.

Terkadang watak kamu pasti begitu, bentuk zat yang kamu lahirkan depan-depan bersama mereka. Angin udara batin pula jauh kamu sendirian seorang-seorang. Sang otak pula mulalah mengada mengambil tempat berfungsi laju mengulang-ulang kata-kata yang sama di dalam kotaknya. Dunia luar itu sudah berpisah. Pintu untuk kesana hampir saja tertutup rapat dengan suasana ada.

Dunia. Manusia. Kamu sangka mereka bersama-sama setiap masa. Sangkaan kamu sahaja.

Rabu, 5 Oktober 2011

Pasti

Mereka semua ada disana. Di sebelah tembok besar kehidupan. Dalam ruangan misteri iman manusia. Bila saja masanya tiba, jawapan yang tergantung lama itu pasti akan kita ketemui.

Kita dapat, kita rasa. Satu-persatu.

Khamis, 22 September 2011

Sekuat Ombak

Manusia itu sering saja tersedar dari lamunan. Mereka terfikir, sekuat manakah cinta itu harus dipersembahkan. Dan untuk siapa sebenar nya kuasa hangat yang mengalir dalam tubuh mereka itu perlu di terjemah menjadi sebuah hadiah yang paling berharga. Sedangkan fitrah asal manusia dan dunia itu adalah musnah. Tidak ada sesuatu pun yang menjadi hak mutlak persendirian mereka. Sedarlah berkali-kali pun, pasti satu-persatu akan terbang melayang menuju ke arah pusat segala tenaga yang ada. Manusia tetap di titik kosong.

Hakikat sebenarnya, rasa cinta yang ada, degupan jantung rindu dan dendam yang meruap bukan berterusan dalam jiwa mereka-mereka. Selalunya ia datang menceroboh dengan segala kuasa adrenalin yang mengalir laju akan hilang sekelip mata juga. Sekuat manakah rasa cinta itu harus dipersembahkan.

Lihat saja pada sang ombak yang memukul pantai. Cinta nya tidak pernah di perjual, cintanya putih sesuci pasir pantai yang halus kepada Sang Pencipta. Tidak pernah sesekali pun ia mengingkari kekasih Nya. Biar pun laut semakin kering, biar pun pantai melebarkan skala nya, ia tetap teguh kepada kekasih Nya. Hanya kerana cinta yang tulus suci menurut perintah. Walau ada halangan tetap berkorban segala-galanya. Sang ombak pasti akan memukul pantai.

Alangkah indahnya jika manusia sebegitu. Rasa cinta yang tidak pernah berbelah bagi hanya satu kepada kekasihnya. Rasa rindu yang terus-terusan mengalir tanpa henti dalam jiwa mereka hanya kepada yang dirindui. Lebih-lebih lagi cinta dan rindu kepada Pencipta rasa.

Persis ombak dan pantai. Aku mahu sebegitu. Selangkah ku kepada mu, sejuta langkah Kau berlari mendapatkan ku. Ud’uni fastajib lakum.