"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Isnin, 31 Mac 2008

Benamkan hujung kaki dalam perjuangan ini


Malam yang memenatkan telah berlalu menggantikan subuh yang sepi dan sunyi. Desingan di telinga ku begitu jelas di dengari menandakan bahawa akulah manusia yang masih wujud dan hidup pada waktu ini. Mungkin di kawasan asing ini kehidupan ahli negerinya begitu sepi, rahsia dan menikmati suasana sebegini. Dan aku adalah orang asing bagi negeri ini, yang mengasingkan diri ku dari mereka untuk menikmati kehidupan sepi, merasa desingan syahdu dan ketenangan yang menggamit jiwa ku untuk menghadap Yang Maha Esa(Pemberi ketenangan kala ini).

Hari semalam, hari yang panjang berlalu. Setelah tubuh ku diasak dengan sepenuh gerakan dalaman dan luaran, juga asakan jiwa dan perasaan antara kehidupan yang resah atau statik tiada pembaharuan. Dan natijahnya aku merelakan tubuh ku menerima contengan dan lakaran hidup jalan yang berliku untuk menjadi seorang manusia.Dan hakikatnya adalah seorang manusia yang diletakkan atas pundak bahunya tanggungjawab untuk memikul beban mentadbir dunia. Dan dikala waktu begini, hembusan angin sejuk negeri ini yang jelas dapat aku rasai telah mengingatkan aku akan salah satu tujuan hidup yang sebenar jalan yang berliku.

Dahulu,ditanah air, guruku selalu mengingatkan bahawa aku dan semua manusia yang meminjam udara di dunia ini adalah seorang pentadbir.Tambah lagi bagi mereka yang memang khusus dalam bidang mentadbir dunia ini. Dan aku adalah salah seorang dari mereka. Segala yang telah aku pelajari adalah untuk menjadikan diriku seorang pentadbir. Dan memang untuk membenarkan impian dan kata-kata itu perlulah di susuli dengan perjuangan. Ramai manusia yang berjuang. Dan kesemuanya mempunyai prinsip dan metodologi tersendiri dalam perjuangan itu. Berjuang membaiki diri sendiri, berjuang mengangkat kebenaran yang telah lama jatuh terjepok di tempat yang paling bawah dan hina, berjuang mengangkat martabat bangsa, berjuang memperkenalkan ideologi sesat yang kononnya bertamadun lagi moden, berjuang menentang kebatilan. Bahkan, ada juga yang berjuang untuk mentadbir dunia tanpa mempedulikan laungannya itu benar atau salah. "Matlamat menghalalkan cara". Laungan yang sering di guna pakai dan menjadi akidah dalam jiwa-jiwa pejuang yang mahukan kuasa mencengkam dunia dalam genggaman mereka tanpa hiraukan Penguasa segala kuasa.

Bagi ku perjuangan ini masih jauh, dan perlu dimulakan dari sekarang(selepas kehidupan baru yang telah lama bermula). Dan bagiku perjuangan ku ini patut dan perlu dimulakan daripada jalan yang berliku ini. Dan ini jalan-jalan yang aku rintis selama 23 tahun yang lepas. Dan semenjak dari itu, sudah tidak pernah lagi mual dan loya Orang tua ku mengingatkan tentang tugas yang perlu aku pikul sebagai seorang anak, lelaki, dan manusia. "anak ku, kau harapan keluarga, bantulah kami untuk menentukan jalan yang patut kami pilih ketika kami masih lagi boleh menghirup udara kotor dunia ini. dan jangan biarkan perahu yang tidak berisi kemudi hanyut di tengah lautan, nanti hanyutnya tidak pulang ke pelabuhan". Kata-kata sinis bermadah pada zahirnya memang tidak mengejutkan ku. Tapi ini satu wadah dan adat kemelayuan orang lama. Menyulami kata-kata dengan lirikan sinis, tepat dan dalam terus ke hati ku. Dan ia sentiasa segar dan menyinari hati ini sambil terus-terusan menjadi bekalan yang disiapkan oleh pengajar ku dari kalangan Ibu-Bapa ku yang tercinta, guru-guru ku yang di rindui dan teman-teman seperjuangan dalam kehidupan jalan yang berliku ku.

Kehidupan yang bakal diterjah dihadapan ku akan ku hiasi dengan pembaikan diri dan mengajak kepada pembaikan. Ini langkah pertama kaki ku dalam perjuangan jalan yang berliku. Dan bermulanya hujung kaki ku mencecah lembah perjuangan ini, aku perlu teruskan langkahnya dengan tenang, sabar dan istiqamah, kerana dalam perjuangan ini pasti banyak onak dan duri yang menunggu ku dan ianya pasti akan menjadi ujian dalam kehidupan jalan yang berliku. Biar luka, biar berdarah, biar harus untuk ku gadaikan diri ini untuk menjadi benteng tubuh manusia, perjuangan ini mesti diteruskan selamanya. Sedikit ataupun banyak. Semua ini persediaan sebelum berakhirnya waktu untuk ku di dunia ini. Dan bila waktu sudah berakhir, teman sejati yang menunggu adalah amal dan sepi….bimbinglah daku Ya Rabb………….

Tiada ulasan: