Aku membawa diri terbang bersama angin dan debu negeri pasir. Langkah kaki terus mengikut rentak kehidupan seharian yang memenatkan dan sunyi. Sebelum ini ada di kalangan ku yang segelintir ini telah terbang menempuh laut china selatan menuju ke tanah air. Menghabiskan fatrah santai dekat bersama keluarga tersayang. Bertentang empat mata bersama keluarga tercinta di
Buat yang masih disini, kehidupan mesti diteruskan. Mesti membuahkan hasil kehidupan yang ranum, masak dan elok. Kehidupan walau di mana-mana sekalipun perlu di teruskan. Di bajai, di jaga, dan di rawat agar ianya hidup subur membuahkan rasa indah yang berbunga. Biarpun sakit, lemah, kecewa, berdiri, duduk, atau terbaring jasad itu. Kehidupan mestilah menghasilkan manfaat. Tidak pada diri sendiri, mungkin bermanfaat pada orang lain yang sentiasa mengikuti rentak hidup jalan yang berliku itu...
Keadaan akan menjadi seperti biasa. Biarkan rasa sunyi dan sepi yang bertandang selepas ini menjadi makanan harian yang selalu di jamah. Dari mula mata di buka, sehinggalah ianya di tutup kembali. Paksa diri untuk membiasakan dengan keadaan sebegini. Selepas kepulangan beberapa orang sahabat ke tanah air baru-baru ini baru terasa bahawa diri ini sebenarnya bukan berada di negeri sendiri. Sekarang, mulut ini menuturkan bahasa asing yang sukar di fahami, mata ini menonton kehidupan manusia aneh yang jelas berbeza dari kehidupan asal di negeri sendiri, kaki ini berpijak di atas tanah gersang yang panas dan membakar. Debunya melayang ganas menampar apa sahaja di hadapan. Kalau mata melihat kejauhan nun di tengah pasir ini, pasti fatamorgana akan muncul untuk memberi harapan palsu kepada pengembara sahara.
Ya Allah, jauhkan aku dari tipu daya fatamorgana dunia ini… kuatkan daku ya Allah..
Di sini ujiannya getir sekali. Rasanya seperti memikul beban yang tidak pernah berkurangan. Beban statik yang memberatkan seluruh jiwa dan raga ku. Mengikat kaki ku agar tidak boleh berjalan, menyiat kulit membiarkan aku tersiksa sendirian, memusingkan fikiran dengan kabus ribut yang sesak di awangan minda. Ujiannya datang silih berganti. Seperti musim negeri pasir yang berubah mengikut peredaran bumi. Nah ujiannya!!.. Berhadapan dengan perangai ahli negerinya yang bermacam-macam, berhadapan dengan cuaca menggilanya, berhadapan dengan kesusahan komunikasinya, berhadapan dengan makanannya, bukunya, rumahnya, tremco nya(alat pengangkutan awam) dan semuanya!!..
Ujian datang untuk mematangkan jiwa dan memberitahu makna kehidupan yang sebenar. "patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan di biarkan dengan hanya berkata: "kami beriman", sedang mereka tidak di uji".(maksud ayat Al-Quran 29:02)
Rasanya hidup ini terlalu singkat, apatah lagi jika sudah mengetahui bilakah waktu berpisahnya ruh dari ikatan jasad. Ketika itu, semua perkara hanyalah semata-mata untuk Pencipta. Dialah yang menciptakan, dan Dialah yang mematikan. Hatta untuk setiap semua perkara di dunia ini Dialah juga yang menguruskannya. Carilah hingga ke hujung dunia sekalipun apa sahaja yang bukan di bawah kekuasaanNya. Walaupun sehingga di perut bumi!!.. pasti hanya Dialah satu-satunya yang menguruskannya. Allah Maha Agung dan Berkuasa..
Alangkah indahnya hidup jika segala yang di lakukan hanyalah semata-mata kerana Allah…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan