"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Jumaat, 11 Julai 2008

Berjalan, melihat dan mentafsir


Menyingkap tirai di jendela kenderaan awam yang membawa ku ke daerah panas di hujung negeri pasir membuatkan diri terasa begitu besarnya dunia ini. Laluan yang di lalui sering bertukar wajahnya. Terkadang subur dengan tanaman sawah dan sayurannya, terkadang kontang dengan debu pasir sahara yang membakar, terkadang mata di jamah dengan keindahan susur pantai yang menakjubkan. Sangat terasa diri ini hamba yang lemah di sisi Mu, tiada sesuatu yang wujud atau tidak di dunia ini mampu menandingi kuasa Mu dalam mencipta segalanya di bumi ini."La haula wala quwwata illa billah"(tidak ada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaan Allah). Segala nikmat yang di beri pinjam ini menjadi dalil(bukti) untuk membesarkan Kebesaran Mu Ya Rabb…

Subhanallah (begitu indah ciptaan Mu Ya Allah)…

Di kesempatan yang ada sewaktu fatrah(penggal) cuti kali ini(cuti musim panas), diri ini di bawa jauh meninggalkan kehidupan statik di Mansurah. Kehidupan sebelum yang bergerak perlahan, ianya penuh dengan gerakan lemah menunggu waktu fajar muncul dan tenggelam kembali. Tiada pembaharuan. Fatrah cuti yang tidak mendebarkan. Mujurnya, dengan satu trip yang di tawarkan oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia disini untuk menawan daerah panas di hujung negeri pasir dapat menghidupkan kembali hari-hari sepi dan lemah di Mansurah. Debaran untuk hidup kembali berdegup laju. Rasanya seperti kebah dari gering yang panjang. Memberi makna bahawasanya hari cerah yang bersinar terang bakal menerangi kehidupan hadapan.

Perjalanan di mulakan dengan doa permusafiran, memohon agar di beri keselamatan dalam perjalanan yang bakal di tempuh di hadapan nanti. "subhanallazi sakharalana haza, wama kunna lahu mukrinin, wa inna ila rabbina lamunqalibun"(maha suci Allah yang memudahkan perjalanan bagi kami, dan tiadalah kami berkuasa mempergunakannya tanpa kurnia dari Engkau, sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami). Perjalanan yang panjang telah bermula, matlamat utamanya menuju daerah panas di hujung negeri pasir. Mencari tinggalan sejarah manusia awal di negeri ini. Menghayati kehidupan panas sahara. Meneroka rahsia alam negeri orang untuk di jadikan oleh-oleh apabila pulang ke tanah air nanti. Semuanya bakal menjadi kenangan terindah yang bakal di kisahkan di kemudian hari. Mungkin esok, lusa, tahun hadapan, hatta mungkin ketika wawasan 2020 nanti. Waktu hadapan yang tidak dapat di ramal dan di tilik.

Setibanya di daerah panas, biru laut agibah(nama khas) terhidang di hadapan mata. Membirukan mata siapa yang memandangnya. Kelihatan ramai pengunjung-pengunjung dari negeri pasir atau luar sudah berada di situ. Semuanya kagum akan keindahan pantai dan lautnya. Kesedaran muncul memberitahu akan maha indahnya lagi sang Pencipta yang telah mencipta semua ini. Subhanallah… Khabarnya laut disini boleh bertukar-tukar warnanya. Dari hijau ke biru muda, dari biru muda ke biru gelap, dan seterusnya sampai ke tujuh warna berlapis ketika menjelang waktu senja.

Seharian di daerah panas di habiskan dengan menyusur sekitar pantai agibah, hamam Cleopatra (tempat bersiram puteri Cleopatra), dan meneroka kubu tentera Itali di mathaf Italia(muzium Itali). Sempena fatrah ssaif(musim panas) yang telah berganti dari fatrah shitak(musim sejuk) akhir bulan februari yang lalu, permusafiran ini terasa begitu membakar. Tubuh rasa di panggang, semakin lama semakin garang bahang surianya. Sangat terkesan bagi ku yang sebelum ini di tanah air belum pernah menerima perubahan antara musim panas dan sejuk sebegini. Inilah pengalaman hidup. Mengajar untuk menjadi manusia yang sebenar walau dalam apa jua keadaan. Sebelum suria meninggalkan dunia, perjalanan di teruskan menuju chalet yang sudah di tempah. Mungkin agak uzur dan lama. Walaupun begitu, masih setia untuk menjadi tempat melepaskan siksa lenguh letih dan sengal ketika di dalam perjalanan panjang tadi. Badan di ajak untuk tidur menunggu suria esok…

Esoknya perjalanan di tempuh mengharungi sahara negeri pasir menuju ke Oasis Siwa. Tempat subur negeri pasir. Di sana tempat pengeluar air mineral Siwa. Selain itu di sana juga tempat pengeluar kurma bagi negeri pasir. Mengharungi sahara seawal jam tujuh pagi dari chalet. Perjalanan kali ini mengambil masa 5 jam untuk sampai ke Oasis Siwa. Masa yang cukup memeritkan, dengan keadaan gurun sahara di kiri kanan jalan, hati mendesak-desak untuk segera sampai. Segera keluar dari cuaca panas gurun kontang negeri pasir. Sesampainya di Siwa, kaki di ajak terus menjelajah tinggalan sejarah manusia awal di sini. Mendaki "bukit kematian", menjelajah kota lama Siwa, dan akhirnya menyegarkan badan di kolam Cleopatra. Terbalas juga hasrat hati untuk menyejukkan anggota badan yang hangus di bakar suria sahara Siwa. Dan sebentar lagi akan menempuh perjalanan panjang sekali lagi untuk pulang ke chalet. Menempuh 5 jam di kiri kanan sahara sekali lagi…

Hari terakhir di daerah panas hujung negeri pasir badan di ajak untuk bersantai di pantai Abyad(putih). Bermula seawal jam tujuh pagi, semasa pesisir pantai masih kosong tanpa seorang pengunjungnya, kaki ini menjadi saksi pertama yang memijak putih pasir halus pantai Abyad. Menikmati keputihan pasirnya, merasa deruan angin bayu yang kuat menampar tubuh, dan mendengar suara hembusan ombak laut negeri pasir yang mendamaikan. Seperti sedang menyanyikan lagu therapy yang menenangkan jiwa pendengarnya. Setelah puas menikmati keindahan pantai Abyad, perjalanan akan di teruskan untuk kembali semula ke Mansurah, menjenguk kembali kehidupan biasa ahli negeri pasir di Mansurah..

Perjalanan pulang memakan masa yang panjang. Di bawah sinaran rembang waktu tengahari memang melemaskan siapa sahaja. Tambahan pula dengan keadaan bas yang uzur dan menghadapi masalah dengan alat penghawa dinginnya, memang sangat menguji kesabaran ku. Kalau ikutkan hati mahu saja di pecahkan tingkap yang menghalang angin daripada masuk ke dalam. Biar terasa angin yang sebenar memukul dan menyejukkan badan. Tapi, semua ini hanya sekadar berbicara dalaman sahaja. Ahh!!.. tidak mengapa, fatrah ssaif(musim panas) cuma datang sekali sahaja dalam setahun, apa yang hendak di bisingkan??, yang penting sekarang segala pengalaman yang telah di lalui di daerah panas perlu di manfaatkan. Thaqafah(budaya) yang di pelajari perlu di jadikan oleh-oleh untuk di bawa pulang ke tanah air nanti. Pengembaraan ke daerah panas negeri pasir tamat dengan bekal yang di perolehi untuk di bawa pulang ke Mansurah seterusnya tanah air nanti. Mudah-mudahan ianya bermanfaat untuk kemudian hari…

"mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan Rasul-Rasul".(maksud ayat Al-Quran 03:137).

Tiada ulasan: