"Bismillaah hirRahmaanir Rahiim"(dengan nama Mu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang)... "Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh"(salam sejahtera)... "jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada ANDA yang sudi meluangkan masa menjenguk halaman yang tidak seberapa ini..."Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada Mohd Fadzil Bin Mohd Amin..

Rabu, 11 Jun 2008

Malam yang indah


Semalam angin malamnya cukup mendamaikan. Cukup selesa dan bermakna untuk di hargai ketika ini(musim panas). Mungkin waktunya tepat, seakan-akan mengetahui bahawa aku dan semua mahasiswa di universiti telah selesai menjalani imtihan(peperiksaan)fatrah thani(penggal ke-dua). Keadaannya seperti meraikan kebebasan kami selepas sepurnama di cengkam pertarungan dengan emosi dan tekanan dalam menjalani peperiksaan. Ahh…nyaman sungguh ketika angin menampar pipi diwaktu ini. Jam sudah menunjukkan pukul lapan malam waktu negeri pasir. “assalamualaikum warahmatullah….” ku palingkan wajah ke kanan di turuti ke kiri menuruti rukun solat Imam Sameer Barakat(Imam tetap masjid Ibadur Rahman madinah salam)…

Seusai solat fardhu maghrib di masjid Ibadur Rahman Madinah Salam(bandar Salam, tempat permastautinan ku di negeri pasir) aku harus segera menuju ke madinah Dirasat(Bandar Dirasat), sebuah lagi bandar yang menjadi nadi kehidupan bagi penduduk satu wilayah di negeri pasir. Di sana tempat permaustautinan sahabat-sahabat ku. Malam ini janji mesti di kotakan. “jangan lupa untuk ke bandar Gamaah(salah satu bandar di wilayah negeri pasir) malam nanti ya!!..” kata sahabat ku mengingatkan supaya tidak lupa akan janji kami untuk berehat-rehat dan berbelanja di sana malam ini…

Malam ini semuanya bergaya. Setelah sekian lama menanti untuk mengenakan baju baru yang masih belum di keluarkan dari musim sejuk yang lepas. Malam ini dendam sudah terbalas. Mana tidaknya, musim sejuk dahulu baju tebal telah menutupi segala baju-baju di dalamnya. Tak usah di fikirkan tentang apa yang di dalam baju tebal.. fikiran berpusing ligat untuk malam ini. Aku mengenakan jeans dan kemeja biru, siap di seterika lagi. Wah!!…cukup bersemangat... ada yang berbaju bunga, berseluar slek, berbaju melayu..memang gila semuanya… masing-masing tersenyum sendirian…

“anta auz eh?”(apa yang awak mahu), kata lelaki misai di kaunter permintaan sebuah restoran terkemuka di sekitar bandar Gamaah, suaranya sahaja sudah cukup untuk menggetarkan hati sesiapa yang mendengarnya... cukup bersahaja dan kasar, mungkin akibat dari tekanan kerja yang membebankan.. tambahan pula dengan misainya yang seakan-akan misai pelakon drama swasta A.Galak dalam cerita Gerak Khas di Tv1 sudah cukup untuk memberitahu bahawa aku perlu segera membuat tempahan makanan tanpa perlu bertanya soalan-soalan bodoh ku...

”gibli wahdah dinner box maa bebsi”.(berikan saya satu set dinner box dan segelas pepsi) bergetar suara ku ketika mata ku bertembung tepat dengan mata lelaki misai… pesanan ku di sambut oleh sahabat-sahabat yang lain dengan menu kegemaran masing-masing…. Suapan diakhiri dengan doa bersama-sama sahabat. “alhamdulillah hillazi at’amana wa saqona wa ja’alana minal muslimin”. Syukur pada Mu ya Allah…

Malam ini perjalanannya di penuhkan dengan taburan bunga kegembiraan gelak tawa kami. Di negeri pasir yang penduduknya begitu asing melihat orang kecil seperti kami, ku cuba mencari ruang-ruang untuk bernafas menghidupkan hari-hari kami di sini. khasnya untuk malam ini, kami menyusuri kehidupan bandar Gamaah yangt di terangi lampu neonnya. Sangat menyinari hati-hati kami yang sedang melonjak terbang melayang bersama debu negeri pasir. Ramai sekali penduduknya meraikan malam ini. Ada yang bertudung litup serba hitam, ada yang berskaf pendek warna-warni, ada yang ketat berbonjol terjojol... ada yang bersama keluarga tercinta, ada yang bersama kekasih setia, ada yang sedang leka bekerja mencari sesuap nasi untuk menyambung hidup menempuh hari esok. Ada nya malam ini bermacam-macam...

"antum minin?"(kamu dari negara mana), bergoyang-goyang kepala lelaki separuh umur bertanya ku.. selalunya penduduk negeri pasir akan bertanya asal negara ku disini. Mungkin perbezaan rupa wajah, besar kecik yang ketara jelas terpancar dari wajah kami membuatkan mereka ingin tahu asal-usul kami. "Malayzia? ahsan nass..miah-miah"(orang malaysia? sebaik-baik manusia.. seratus-peratus baik).. "syukran, antum bardu, miah-miah". (terima kasih, kamu juga begitu, seratus-peratus baik).. malam yang indah, semuanya baik di mata kami... semoga ianya berterusan untuk hari-hari mendatang di perlembahan Nil ini...

Indah sungguh malam ini. Terasa benar keberadaan sahabat di samping ku ketika ini. Kalau boleh di lakonkan, mahu saja aku simpan kenangan ini menjadi penawar duka ketika berseorangan nanti.. walaupun lakonan itu sekadar wayang yang menipu kuasa realiti, tapi sekurang-kurangnya dapat juga memancarkan senyuman ketika berduka keseorangan nanti. Waktu semuanya akan berpisah setelah tamat pengajian di negeri pasir ini…

aku akan rindukan malam gaya ini…. Sungguh, aku akan ingati nya…..